Pulang dari luar negara ke Sabah wajib kuarantin

KOTA KINABALU, 28 JULAI – Selaras dengan keputusan kerajaan Persekutuan, kerajaan Sabah memutuskan semua individu yang baru pulang dari luar negara dan memasuki negeri ini sama ada melalui laut, darat atau udara akan dikenakan perintah kuarantin wajib di pusat ditetapkan, bermula esok.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata tempoh kuarantin adalah selama 14 hari atau apa-apa jumlah hari penginapan bagi Individu Di Bawah Pengawasan (PUS) yang ditetapkan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.

“Kadar kos kuarantin di Stesen Kuarantin (hotel yang diwartakan) adalah RM150 sehari dan bagi pemegang kad orang kurang upaya (OKU) kos akan ditanggung oleh kerajaan.

“Bagi pusat kuarantin disediakan kerajaan adalah percuma bagi warganegara dan bayaran RM150 kepada bukan warganegara. Semua kos ujian pula yang akan ditetapkan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah akan ditanggung oleh PUS,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. – Bernama