Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Sept – Kontinjen Negara Brunei Darussalam yang beraksi di Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19, Perak 2018, tiba dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, kelmarin.
Atlet karatedo negara yang telah berjaya meraih dua pingat gangsa dalam SUKMA 2018 iaitu Dayang Rodhyatul Adhwanna binti Bakar dalam acara Kata Perseorangan Wanita dan Dayang Amirah Syahidah binti Abdul Rahman dalam acara Kumite Wanita Perseorangan 45 Kilogram merupakan di antara atlet yang pulang ke tanah air, kelmarin.
Hadir di ruang ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk menyambut ketibaan kontinjen negara dan seterusnya mengalungkan sesandang serta mengucapkan tahniah kepada para pegawai dan atlet ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Hadir sama untuk menyambut ketibaan para atlet ialah Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Dayang Mariam binti Ulat serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Kontinjen seramai 14 orang terdiri daripada sembilan orang pegawai dan atlet daripada pasukan karatedo serta lima orang pegawai dan atlet daripada pasukan berbasikal telah menyertai kejohanan tersebut.