Monday, March 31, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pulang dengan kejayaan

    Oleh James Kon

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 DIS – Atlet kebangsaan boling padang dan pencak silat Negara Brunei Darussalam selamat tiba ke tanah air hari ini disambut dengan ucapan tahniah selepas menamatkan persaingan di Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-30, di Manila, Filipina.

    Dalam acara boling padang, pasukan negara berjaya meraih dua pingat perak melalui acara Wanita Berpasangan dan Empat Lelaki.

    Esmawandy Brahim dan Hajah Amaliah binti Haji Metali menyumbang pingat perak apabila mereka tewas di acara akhir Berpasangan Wanita menentang Malaysia dengan kutipan mata 14-21. Sementara itu, bagi acara Empat Lelaki yang diwakili oleh Bahren Abdul Rahman, Mohammad Hazmi bin Haji Aziz, Haji Osman bin Haji Yahya dan Haji Amli bin Haji Gafar kalah kepada Malaysia dengan mata 6-24 di acara akhir untuk meraih pingat perak.
    Manakala, acara pencak silat, Anisah Najihah membawa pulang pingat gangsa bagi Kategori Seni Tunggal Wanita dengan memungut 451 mata.

    Hadir untuk mengalu-alukan ketibaan atlet dan pegawai bagi kedua-dua pasukan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
    Turut hadir Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di Kementerian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan) di Kementerian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said; Pemangku Pengarah Pembangunan Belia dan Sukan, Dayang Zainab binti Haji Morshidi; dan Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Pengiran Haji Mohd Azlan bin Pengiran Haji Tengah Omar.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam ucapan tahniahnya menyatakan “Kita berbangga dengan pencapaian para atlet yang telah berusaha untuk mendapatkan pingat buat negara. Boling padang berjaya memperoleh dua perak dan pencak silat memperoleh satu gangsa. Bagi para atlet yang tidak mencapai pingat, kita tahu bahawa abiskita telah melakukan yang terbaik untuk memberikan saingan. Terus berlatih untuk negara. Kita di Brunei Darussalam berbangga dengan abiskita semua.”
    Beliau juga menekankan bagi persiapan untuk menempuhi Sukan Sukma dan Sukan SEA akan datang, para atlet disarankan untuk membuat persediaan lebih awal.

    Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan semasa bergambar ramai bersama atlet boling padang dan pencak silat yang baru balik dari Manila.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda