Saturday, February 8, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pulau baharu terbentuk lepas gunung berapi meletus

    TOKYO, 9 NOV – Sebuah gunung berapi bawah laut meletus di Jepun tiga minggu lalu, memberikan pemandangan unik sebuah pulau baharu kecil yang terbentuk daripada letusan itu, tetapi para pakar mengatakan ia mungkin tidak akan bertahan lama.

    Gunung berapi bawah laut yang tidak dinamakan itu, terletak kira-kira satu kilometer di luar pantai selatan Iwo Jima, yang dipanggil Ioto di Jepun, memulakan siri letusan terbaharunya pada 21 Oktober.

    Dalam masa 10 hari, abu gunung berapi dan batu bertimbun di dasar laut, kemudian naik di atas permukaan laut. Menjelang awal November, ia menjadi pulau baharu dengan diameter kira-kira 100 meter (m) dan setinggi 20m di atas laut, menurut Yuji Usui, seorang penganalisis gunung berapi di Agensi Meteorologi Jepun.

    Aktiviti gunung berapi telah meningkat berhampiran Iwo Jima dan letusan dasar laut yang serupa telah berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi pembentukan pulau baharu merupakan perkembangan penting, kata Usui.

    Aktiviti gunung berapi di tapak itu telah berkurangan dan pulau yang baru terbentuk itu agak mengecut kerana pembentukannya yang ‘rapuh’ mudah dihanyutkan oleh ombak, kata Usui.

    Beliau mengatakan para pakar masih menganalisis perkembangan itu, termasuk butiran-butiran pengendapan. Pulau baharu itu mungkin bertahan lebih lama jika ia terdiri daripada lava atau bahan yang lebih tahan lama daripada batuan gunung berapi seperti pumis.

    “Kita hanya perlu melihat perkembangannya,” katanya. “Namun pulau itu mungkin tidak bertahan lama.

    Gunung berapi bawah laut dan aktiviti seismik telah membentuk pulau baharu pada masa lalu.

    Pada 2013, letusan di Nishinoshima di Lautan Pasifik di selatan Tokyo membawa kepada pembentukan pulau baharu, yang terus berkembang semasa letusan gunung berapi selama sedekad. – AP

    Kepulan asap kelihatan dari perairan pulau Ioto di Lautan Pasifik. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda