Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pulau Banggi bantu pacu pertumbuhan ekonomi Sabah

    LABUAN, 5 JULAI – Penubuhan Pulau Banggi, Sabah sebagai zon perdagangan bebas digital (DFTZ) berupaya membantu merangsang ekonomi negeri berkenaan berikutan terletak pada kedudukan yang strategik di laluan perkapalan antarabangsa.

    Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata pulau berkenaan juga berupaya menjadi ‘Gerbang Emas’ kepada pasaran Indonesia dan Filipina.

    Menurutnya Pulau Banggi adalah pelabuhan semula jadi, dan cadangan penubuhannya sebagai DFTZ akan membantu pulau itu untuk menerima teknologi dan kepakaran paling cekap bagi memenuhi keperluan masa depan, mewujudkan industri dan pekerjaan baharu, di samping memacu aktiviti komersial di wilayah utara Sabah. 

    Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Membasmi Kemiskinan Menerusi Gerbang Emas Asia Tenggara: Meningkatkan Kembali Peluang Pekerjaan di Utara Sabah,’ bersempena dengan Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan 2023 (Wilayah Borneo) di Kota Kinabalu semalam.

    Geoffrey berkata cadangan untuk mentransformasi Pulau Banggi sebagai pulau perdagangan bebas digital yang pertama di Malaysia telah kerap kali dilakukan.

    “Cadangan terkini oleh Halun Global Sdn Bhd dan terdapat dua rakan kongsi yang bersedia untuk membantu kerajaan negeri Sabah untuk menjadikan projek ini sebagai satu realiti,” katanya.

    Dua rakan niaga yang mempunyai potensi adalah China Construction Bank (CCB) cawangan Labuan dan Neurogine Group Sdn Bhd (Neurogine). 

    Beliau berkata CCB berupaya menyediakan bon hijau, khususnya menerusi dana sepadan serta kemudahan geran sepadan untuk menarik pelaburan langsung asing. – Bernama

    Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal berkata pulau berkenaan juga berupaya menjadi ‘Gerbang Emas’ kepada pasaran Indonesia dan Filipina. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda