KUDAT – “Saya ni orang Sabah tapi ndak pernah lagi bah sampai ke Pulau Banggi,” demikian kata salah seorang peserta Kembara Media Negaraku anjuran Jabatan Penerangan. Mendengarkan kata-kata itu, penulis semakin teruja untuk mengenali dengan lebih dekat pulau yang dikatakan terbesar di Malaysia itu.
Sememangnya nama Pulau Banggi agak asing berbanding pulau pelancongan sedia ada di Sabah. Namun berpandukan serba-sedikit penerangan oleh Ketua Daerah Kudat, Sapdin Ibrahim, kami 19 peserta program dari media Semenanjung, Sabah dan Sarawak dapat membayangkan sesuatu yang menarik.
Kami menaiki feri ke Pulau Banggi dan kelibat anggota Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang sentiasa mengawal perairan menghilang rasa gusar terutama ketika feri membelah lautan biru.
Ketika menghampiri jeti Kerakit iaitu pintu masuk utama pulau tersebut, boleh dikatakan semua berasa berbaloi perjalanan yang memakan masa hampir sejam itu. Penulis sendiri terpegun dengan keindahan bukit-bukau yang menghijau serta pasir memutih di kawasan pantai.
Realiti kehidupan di Pulau Banggi
Melihatkan keadaan jeti yang diperbuat daripada kayu serta penduduk setempat yang berniaga di sepanjang laluan jeti, penulis sudah boleh membuat kesimpulan realiti kehidupan masyarakat di sini.


Pastinya penduduk kampung di pulau ini terpaksa bekerja bertungkus-lumus untuk membiayai kehidupan mereka, bisik hati penulis.
Pulau Banggi mempunyai 90 buah kampung dan daripada bancian penduduk 2003, terdapat lebih kurang 20 ribu penduduk dan lebih kurang 90 peratus beragama Islam. Terdapat lima suku kaum iaitu Bonggi, Ubian, Kagayan, Bajau laut dan Suluk.
Rupanya, Kerakit inilah pekan kecil bagi Pulau Banggi yang mempunyai kemudahan paling minimum. Selain menempatkan Klinik Kesihatan, terdapat beberapa buah kedai makan dan kedai runcit untuk menampung keperluan orang ramai.
Sebuah masjid tersergam indah berhadapan dengan Balai Polis Kerakit. Bagi pelancong yang ingin datang ke pulau ini, terdapat rumah rehat, hotel bajet di tepi jeti selain rumah inap desa di kampung air juga berdekatan dengan kawasan jeti.
Setiap hari jeti ini menjadi tempat laluan utama penduduk yang ingin ke Kudat dengan jadual feri dua kali sehari pada sebelah pagi dan petang.
Selain gerai makanan dan minuman, tidak kurang 10 orang berniaga secara kecil-kecilan di sepanjang jeti ini. Mereka hanya membuka meja kecil menjual hasil tanam-tanaman dari kebun masing-masing.
Berniaga sejak awal pagi
Penulis berkesempatan berbual dengan pasangan suami isteri, Hassan Sabani dan Habibah Isahak yang membuka gerai menjual hasil tanaman kebun. Rutin harian mereka bermula pada pukul 5.30 pagi.
Antara hasil titik peluh yang dijual ialah buah pisang, nenas, mangga dan cili sementara sayur-sayuran pula diambil dari Kudat.
Setiap hari, pasangan ini akan menaiki kereta sewa untuk ke Kerakit dari kampung mereka sejauh kira-kira 20 kilometer. Menurut Hassan, kebanyakan penduduk kampung di sekitar Pulau Banggi mengusahakan kebun sendiri dan menjadi nelayan bagi menampung kehidupan. “Pak cik tak biasa ke laut jadi nelayan.
Lagi pun pak cik tak mampu nak beli enjin bot untuk ke laut,” katanya berkongsi kisah hidupnya.
Ketika diwawancara beliau membawa banyak hasil tanaman pisang untuk dijual selain makanan tradisi orang Bajau yang dipanggil ‘putu’ yang diperbuat daripada ubi kayu yang dikukus dan dimampatkan. Putu ini sesuai dimakan dengan ikan masin atau lauk dan sayur-sayuran.
Peniaga ini memberitahu penulis, pendapatan hasil jualannya adalah lebih kurang RM600 sebulan, sekadar cukup untuk menampung kehidupan bersama isterinya.
Pasangan ini mempunyai lapan anak dan kesemuanya merantau ke beberapa tempat termasuk Selangor, Kota Kinabalu dan di Kuching. “Ramai anak muda di pulau ini terpaksa meninggalkan kampung halaman untuk mencari peluang pekerjaan.
“Di sini susah nak dapat kerja. Kalau adapun hanya di kebun dengan pendapatannya sedikit berbanding jika kerja di bandar besar,” jelasnya. Beliau juga menyatakan kegembiraannya dengan semakin ramai pelancong yang datang ke Pulau Banggi.
“Kalau ramai pelancong datang, jualan peniaga pun semakin bertambah kerana ramai yang ingin merasa hasil tanaman dan buah-buahan tempatan,” katanya.

Pembangunan di Pulau Banggi
Pulau Banggi yang berkeluasan 440.7 kilometer persegi dan terletak dalam daerah Kudat. Ia mendapat namanya daripada suku Orang Bajau yang memanggil suku orang asli di pulau itu iaitu suku Bongi atau Banggi.
Walaupun agak lambat dimajukan, Pulau Banggi tidak ketinggalan mendapat perhatian kerajaan negeri Sabah untuk dibangunkan, demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Banggi Datuk Abdul Mijul Unaini.
Tidak dinafikan masih ramai penduduk Pulau Banggi yang hidup di bawah paras kemiskinan dengan kebanyakan mereka mencari rezeki sebagai nelayan pesisir pantai dan bertani. Dalam tinjuan yang dibuat sendiri, beliau berkata ada beberapa kampung yang tidak lagi berpenghuni kerana semua penduduk keluar berhijrah mencari rezeki.
Kemungkinan bancian penduduk dengan jumlah 20 ribu orang yang dibuat tidak tepat lagi, katanya kepada wakil media. “Beberapa perancangan dibuat untuk meningkatkan taraf kehidupan penduduk , antaranya membina prasarana di kawasan tapak pekan baharu.
“Kita juga mensasarkan untuk seluruh kawasan mendapat bekalan elektrik kerana sekarang hanya 90 peratus sahaja yang menikmati kemudahan ini,” tambah
beliau. Di samping itu, perancangan juga sedang diatur untuk membangunkan sektor pertanian. Felcra Berhad memulakan operasi di Pulau Banggi sejak 2007 bagi memajukan tanah pertanian dengan menanam pokok getah.
“Kerajaan negeri melalui jabatan pertanian merancang untuk mengadakan tanaman kontan bagi menaik taraf sosio ekonomi masyarakat Banggi.
“Ada juga jabatan lain turut merancang membangunkan tanah terbiar di kawasan ini,” kata Abdul Mijul yang berharap penduduk tempatan akan menikmati hasil pembangunan yang dirancang.
Potensi sektor pelancongan
Dari segi pelancongan, Pulau Banggi yang terletak di timur laut Kudat berdekatan dengan Teluk Murudu berpotensi untuk dibangunkan kerana keindahan alam semula jadi.
Terdapat Bukit Sibumbung berketinggian 529 meter yang sesuai untuk aktiviti mendaki serta perkemahan di Pantai Maliangin, Tanjung Menyangit dan Pasir Hitam. Mereka yang berminat melakukan kegiatan snorkeling boleh ke perairan Sibogoh, Belarauan, dan Belambangan.
Menurut Abdul Mijul, semua kawasan tersebut berpotensi untuk dibangunkan untuk tujuan pelancongan bagi merancakkan pembangunan ekonomi di Pulau Banggi.
“Sekiranya ada pembangunan pelancongan, banyaklah nanti peluang pekerjaan untuk penduduk setempat dan anak-anak muda pula pulang ke kampung halaman untuk sama-sama membangunkan pulau ini,” katanya yang sangat mengalu-alukan pihak swasta untuk melabur membangunkan sektor pelancongan di Pulau Banggi. – Bernama