Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pulau di Thailand ditutup kesan pelunturan karang

    BANGKOK, 10 MEI – Sebuah pulau di selatan Thailand terpaksa ditutup selepas penemuan kesan pelunturan karangyang meluas, kata Pejabat Taman Negara.

    Pelunturan itu berlaku apabila alga yang hidup di dalam karang keluar disebabkan oleh suhu laut yang lebih tinggi daripada biasa dan peningkatan sinaran ultra ungu.

    Batu karang boleh pulih daripada pelunturan dari semasa ke semasa, sebaik sahaja suhu turun dan keadaan di lautan kembali normal.

    Penutupan itu dilakukan selepas gelombang panas yang membawa maut menyebabkan suhu meningkat di seluruh Thailand dan Asia dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

    Jabatan Pemuliharaan Taman Negara, Hidupan Liar dan Tumbuhan (DNP) berkata, Pulau Pling dan terumbu karang di sekitar Taman Negara Sirinart di Phuket akan ditutup buat sementara waktu susulan pelunturan karang yang meluas disebabkan oleh peningkatan suhu air laut.

    Jabatan itu turut memantau taman negara di Koh Chang, Koh Samet, Chumphon, Koh Surin, Teluk Phang Nga, kepulauan Phi Phi dan Lanta.

    Penutupan taman berlaku secara berkala di Thailand, yang dikunjungi oleh 28 juta pelancong pada 2023, kebanyakan mereka datang untuk beriadah di kawasan pantai negara itu.

    Pada 2018, Maya Bay terkenal dengan filem Hollywood The Beach, ditutup selama lebih empat bulan untuk membolehkan terumbu karang dan hidupan lautnya pulih. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda