Pulau Greece dilanda bencana ekologi

MAKRYMALLI, GREECE, 14 OGOS – Anggota bomba di pulau Evia, Greece masih berjuang memadam kebakaran yang menyebabkan kemusnahan besar kepada habitat hidupan liar di gunung asli hari ini selepas mengancam empat komuniti.

“Ia adalah bencana ekologi terbesar yang berlaku di hutan pain yang unik,” kata pemangku gabenor serantau, Costas Bakoyannis.

Kebakaran itu meletus pada awal kelmarin di pulau kedua terbesar Greece sehingga mencetuskan pengosongan kampung-kampung di Kontodespoti, Makrymalli, Stavros dan Platana, serta mengancam bandar Psachna pada waktu malam, kata para pegawai.

“Dari Psachna hingga Kontodespoti dan Makrymalli segala-galanya telah terbakar. Nasib baik tiada mangsa yang terkorban,” kata timbalan pegawai perlindungan serantau, Thanassis Karakatzas kepada agensi berita kerajaan ANA.

Lebih 200 anggota bomba, 75 jentera bomba, sembilan helikopter pengebom air dan tujuh pesawat dikerah di kawasan sepanjang 12km.

“Kami berjaya melindungi nyawa manusia dan menyelamatkan harta benda,” kata menteri perlindungan awam, Michalis Chrisohoidis.

“Kami akan dapat menangani kebakaran itu hari ini,” kata pegawai tempatan, Yiannis Razos. Kawasan itu berdepan gangguan bekalan elektrik dan air hari ini, kata penduduk.

Sebuah pesawat pengebom air dijangka menyertai operasi itu hari ini selepas Greece meminta bantuan EU. Pesawat kedua Itali dan dua lagi dari Sepanyol dijangka tiba malam ini. – AFP

Anggota bomba mengalihkan pokok terbakar dekat kampung Makrimalli, di pulau Evia, Greece pada 14 Ogos. – AFP