Tuesday, May 13, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pulau Kapas dambakan nafas baharu

    MARANG – Pulau Kapas yang terletak kira-kira enam kilometer dari jeti Marang mempunyai keindahan tersendiri hingga mampu memukau setiap pengunjung.

    Terletak di Laut China Selatan dengan keluasan 21.33 kilometer persegi, pulau yang namanya merujuk kepada pokok kapas itu dilihat mampu menjadi destinasi pelancongan ‘wajib singgah’ dan bertaraf antarabangsa.

    Tempoh perjalanan ke pulau itu hanya mengambil masa antara 15 hingga 20 minit dari jeti Marang.

    Namun di sebalik semua keindahan semula jadi, tidak dinafikan pulau itu memerlukan pemantapan dari sudut infrastruktur dan diberi nafas baharu bagi menampung keperluan lebih ramai pelancong.

    Dalam menuju ke arah pembangunan industri pelancongan, kerajaan negeri disaran bertindak sebelum pulau yang pernah diletakkan sebagai paling popular di Terengganu itu terkebelakang dari sudut persaingan dengan pulau lain.

    Kemudahan di Pulau Kapas yang memerlukan perhatian dan pembaikan. – Bernama
    Sekumpulan lelaki melakukan aktiviti ‘snorkeling’ bagi melihat keindahan hidupan laut yang terdapat di Pulau Kapas. – Bernama
    Pulau tersebut mengambil masa kira-kira 15 minit perjalanan menaiki bot dari Jeti Marang, memiliki beberapa keistimewaan berbanding pulau lain yang menjadikannya begitu dekat di hati pencinta alam semula jadi. – Bernama

    Tinjauan Bernama ke Pulau Kapas mendapati ada beberapa kerosakan pada bahagian jeti, infrastruktur pertama digunakan pengunjung yang wajar menjadi tanda ‘isyarat’ terbaik serta menarik di mata mereka yang berhasrat meneroka kawasan yang terkenal dengan lambakan ikan ‘Nemo’ itu.

    Seorang pengunjung, Hanum Razak, 50, berkata beliau pernah ke pulau berkenaan sebanyak dua kali sebelum ini – yang pertama pada 2015 – dan mendapati keadaan infrastrukturnya tidak banyak berubah, dengan memberi contoh bahagian atap jeti yang telah rosak.

    “Tangga di situ juga ada yang sudah tidak boleh dipijak kerana hakisan,” katanya sambil menambah kemudahan tandas juga perlu disediakan di lokasi yang lebih dekat dengan pesisir pantai.

    Hanum berkata keterujaan untuk singgah di Pulau Kapas adalah kerana faktor alam semula jadi yang memikat hati dan jarak lebih dekat dari tanah besar berbanding Pulau Redang dan Pulau Perhentian.

    Pengusaha pusat peranginan, Hawa Abdul Rahman, 58, berkata pelanggannya termasuk pelancong asing ada yang melihat Pulau Kapas bagaikan rumah kedua. Ini, katanya, menggambarkan Pulau Kapas berjaya memikat hati pelancong dan bukannya sekadar lokasi persinggahan bermusim.

    “Sudah tiba masanya kerajaan negeri memberi lebih tumpuan dalam soal infrastruktur di sini bagi merancakkan sektor pelancongan, termasuk kemudahan seperti tandas dan surau,” katanya selain mahu melihat usaha mempromosi Pulau Kapas diperhebat.

    Pegawai Daerah Marang Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak yang ditemui Bernama mengakui masalah dan cabaran yang dibangkitkan perlu diselesaikan dalam tempoh masa terdekat.

    Antara perkara yang menuntut perhatian segera ialah pembaikan jeti, penambahan tong sampah, sistem solar dan pembinaan longkang lebih teratur.

    Beliau berkata pertemuan melibatkan pihak pengusaha chalet di pulau itu dan wakil kerajaan negeri akan diatur bagi menyelesaikan masalah berbangkit tidak lama lagi. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda