BANGKOK, 5 JULAI – Pulau pelancongan popular Koh Samui di Thailand sedang bergelut dengan masalah kekurangan bekalan air, berikutan kemarau yang sedang melanda dan ledakan kemasukan pelancongan pascapandemik, menurut laporan media.
Pada Jun lalu, pihak berkuasa telah mengumumkan langkah untuk mencatu bekalan air bermula pada 1 Julai, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Air akan dibekalkan di beberapa wilayah di pulau itu secara bergilir-gilir setiap hari, memetik data kerajaan tempatan.
Terdapat penduduk yang mengadu mengalami gangguan bekalan air sejak beberapa hari lalu.
Pihak berkuasa tempatan memberi amaran bahawa bekalan air hanya akan bertahan paling lama sehingga penghujung bulan Julai – kira-kira 30 hari.
Banyak kawasan takungan air berada pada paras yang sangat rendah, lapor laman sesawang The Thaiger. – Bernama


