Thursday, July 17, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pulau Pinang jadi bandar raya pintar bertaraf dunia menjelang 2030

    Oleh Hamdan Ismail

    GEORGE TOWN – Sidang kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Antarabangsa Pulau Pinang yang berlangsung pada 25 Februari lepas memberi peluang kepada kerajaan negeri serta sektor perniagaan untuk mengumpul maklumat ke arah menjadikan Pulau Pinang bandar raya pintar bertaraf dunia dan ‘hijau.’

    Bertemakan ‘Pulau Pinang 2030: Ke arah ekonomi digital holistik,’ sidang sehari itu dianjurkan oleh Institut Strategi Antarabangsa (ISI).

    Disebut sebagai persidangan jaringan kerja peringkat tinggi, ia turut membincangkan peluang perniagaan serta pelaburan yang terdapat di Pulau Pinang di samping pelan kerajaan negeri itu untuk tempoh 11 tahun akan datang, demikian menurut pengerusi ISI Cheah Chyuan Yong.

    Pada sesi panel mengenai ekonomi kerajaan negeri Pulau Pinang, eksekutif operasi dan ketua kanan teknologi maklumat global Flextronics Technology (Penang) Sdn Bhd, Lee See Nee memberi pandangan bahawa tidak perlu timbul kebimbangan berlaku pengangguran sekiranya industri di negeri itu mengembangkan teknologi AI (artificial intelligence) dan robotik mereka.

    “Masih ada banyak peluang pekerjaan dan pekerjaan baharu akan diwujudkan. Jangan fikir anda akan kehilangan pekerjaan kerana sekurang-kurangnya boleh membersihkan robot berkenaan, ” katanya secara berseloroh.

    Datuk Seri Azman Ujang (kiri) bertindak sebagai pemudah cara untuk sesi panel tersebut.
    Datuk Abdul Halim Hussain (depan, lima kiri) bersama-sama penganjur dan peserta Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Antarabangsa Pulau Pinang yang dirasmikannya bagi pihak Ketua Menteri Chow Kon Yeow di sebuah hotel terkemuka dekat sini baru-baru ini. – Bernama
    Masalah kekurangan tanah menyebabkan kerajaan negeri Pulau Pinang memulakan projek untuk menebusguna tanah di selatan pulau itu sehingga sebanyak 1,740 hektar dikenali sebagai Skim Penebusgunaan Selatan Pulau Pinang (PSR). Rakan kongsi projek berkenaan ialah SRS Consortium terdiri daripada Gamuda dan syarikat-syarikat lain. – Agensi

    Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Azman Ujang bertindak sebagai pemudah cara untuk sesi panel tersebut.

    Penebusan tanah

    Lee yang mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam sektor pengilangan berkata, kedua-dua generasi muda dan tua mempunyai peranan untuk membantu kerajaan negeri Pulau Pinang meningkatkan ekonomi agar dapat mencapai sasaran 2030nya.

    “Mereka yang lebih tua boleh menjadi kapitalis penerokaan kerana mereka mempunyai wang untuk melabur di Pulau Pinang. Golongan muda boleh datang ke negeri ini untuk bekerja,” tambahnya.

    Seorang lagi ahli panel, timbalan pengarah urusan kumpulan Gamuda Bhd, Rashdan Yusof, berkata kekurangan tanah untuk tujuan pembangunan di Pulau Pinang membantutkan pertumbuhan ekonomi negeri itu.

    “Apabila pemaju membangunkan kawasan bukit, seolah-olah bukit melawan balik dan berlaku tanah runtuh. Semakin berbahaya untuk membuat kerja-kerja pembangunan, ” katanya.

    Masalah kekurangan tanah menyebabkan kerajaan negeri Pulau Pinang memulakan projek untuk menebusguna tanah di selatan pulau itu sehingga sebanyak 1,740 hektar dikenali sebagai Skim Penebusgunaan Selatan Pulau Pinang (PSR). Rakan kongsi projek berkenaan ialah SRS Consortium terdiri daripada Gamuda dan syarikat-syarikat lain.

    Menurut Rashdan, tiga buah pulau akan diwujudkan di bawah PSR. Satu daripada pulau-pulau berkenaan akan menampung industri elektrikal dan elektronik berteknologi tinggi sementara yang dua lagi untuk perumahan, perniagaan perkhidmatan dan produk baharu pelancongan.

    Sambil merujuk kepada kejayaan Singapura membangunkan Marina Bay dan Pulau Sentosa menerusi penebusgunaan tanah, beliau berkata kedua-dua projek itu kini memberi sumbangan besar kepada negara pulau itu sehingga menjana kira-kira separuh daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

    “Projek PSR akan menjadi milik kerajaan negeri dan versi Marina Bay untuk Pulau Pinang. Jika Singapura mempunyai Universal Studio (di Pulau Sentosa), mungkin Pulau Pinang dapat menarik Disneyland atau yang seumpamanya… tak mustahil, ” katanya.

    Tumpuan ekonomi

    Rashdan juga berkata ekonomi Pulau Pinang akan masih bertumpu di pulau dan bukan Seberang Perai di tanah besar.

    “Rasional ekonomi untuk menjalankan kerja penebusgunaan tanah akan bergantung kepada jarak pusat ekonomi sekarang. Anda tidak boleh menafikan pusat ekonomi Pulau Pinang adalah di pulau dan bukan di tanah besar, ” katanya.

    Menurut beliau Dubai di Emiriah Arab Bersatu mempunyai banyak tanah tetapi masih menjalankan kerja penebusgunaan tanah di luar pantai bagi meningkatkan ekonominya.

    “Mereka banyak membina pulau buatan manusia. Ekonomi mereka berkembang maju. Warga Dubai adalah antara orang terkaya di dunia, ” katanya.

    Rashdan berkata Pulau Pinang menikmati pertumbuhan dua angka antara 1970 dan 2008 pada purata 11 peratus setahun. Bagaimanapun, akibat beberapa kekangan yang dihadapi oleh kerajaan negeri, pertumbuhan ekonominya merosot secara mendadak kepada kira-kira lima peratus setahun untuk tenpoh 10 tahun lalu.

    “Pulau Pinang boleh melonjak semula kepada kedudukan teratas dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia serta menjadi destinasi utama untuk pelbagai kegiatan, bukan sahaja untuk makanan tetapi juga pelancongan. Pulau Pinang akan melalui fasa pembangunan yang hebat daripada sekarang hingga 2030,” tambahnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda