Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pulau Pinang tanpa air selama 4 hari

    PULAU PINANG, 10 JAN – Lebih setengah juta isi rumah dan perniagaan di utara Malaysia akan terputus bekalan air sehingga empat hari mulai hari ini berikutan kerja-kerja kejuruteraan di loji rawatan utama, kata pegawai.

    Gangguan itu telah memaksa ratusan pengeluar di negeri Pulau Pinang – sering digelar ‘Lembah Silikon Timur’ – untuk menggantung operasi.

    Kebanyakan sekolah telah ditutup dan beberapa hospital telah menangguhkan pembedahan kecil.

    Kira-kira 100 tangki air telah dikerahkan untuk membantu meredakan keadaan, namun beberapa penduduk meluahkan rasa marah terhadap gangguan itu.

    “Empat hari tanpa air adalah tidak masuk akal,” kata Ooi Chin Hock, bekas jurubank pelaburan yang mengisi enam bekas plastik besar untuk menyimpan air di rumahnya, memberitahu AFP.

    “(Ini adalah) titik hitam di negeri ini,” tambahnya.

    Juruteknik yang menjalankan kerja-kerja pembaikan di loji rawatan air Sungai Dua, yang membekalkan air kepada kira-kira 80 peratus negeri, sedang menggantikan dua injap air besar yang bocor dan berkarat.

    Paip bocor di lokasi lain juga akan diganti semasa gangguan selama empat hari itu.

    “Kerja berjalan seperti yang dirancang,” kata ketua eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, K Pathmanathan kepada pemberita. – AFP

    Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (tengah atas kiri) meninjau kemajuan loji rawatan air Sungai Dua di Pulau Pinang, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda