Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pulau Pinang, Thailand bincang isu sekatan eksport ikan siakap dan udang

    GEORGE TOWN, 28 SEPT – Kerajaan Pulau Pinang telah mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa Thailand bagi menangani isu sekatan eksport ikan siakap dan udang ke negara itu yang menjejaskan industri akuakultur tempatan.

    Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol berkata perbincangan itu menyentuh pelbagai isu teknikal termasuk pelanggaran prosedur eksport oleh sebahagian pengeksport tempatan yang dikenal pasti sebagai punca utama sekatan itu dikenakan. “Lima tuntutan rasmi telah dibentangkan oleh kerajaan negeri kepada pihak berkuasa Thailand bagi memastikan kepentingan penternak di negeri ini terus terpelihara dan dalam perbincangan yang diadakan, Thailand telah memaklumkan bahawa terdapat pelanggaran prosedur eksport oleh sebahagian pengeksport sebelum ini yang menyebabkan sekatan dikenakan di pintu masuk mereka.

    “Sehubungan itu, kerajaan negeri telah merayu pertimbangan khas agar beberapa penternak diberi kebenaran sementara untuk meneruskan eksport seperti yang telah dimohon dalam surat rasmi yang dikemukakan kepada pihak berkuasa Thailand,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Namun beliau berkata pihak Thailand menegaskan bahawa keputusan hanya boleh ditentukan oleh jawatankuasa mereka dan bagi membina keyakinan serta memastikan ketelusan, kerajaan negeri telah menjemput mereka untuk mengadakan lawatan serta pemeriksaan ke atas ladang-ladang ikan serta udang di negeri ini. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda