Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pulau Pinang tuan rumah Kejohanan Catur Kumpulan Umur ASEAN+

    GEORGE TOWN, 13 JUN – Pulau Pinang akan menjadi tuan rumah Kejohanan Catur Kumpulan Umur ASEAN+ ke-23 disertai lebih 500 peserta yang dijadual berlangsung dari 1 hingga 11 Julai depan.

    Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wan berkata negeri itu dipilih kerana ia selaras dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

    “Kejohanan bertaraf antarabangsa pada Julai nanti itu menghimpunkan lebih 500 pemain dan jurulatih dari serata dunia terutama dari negara-negara ASEAN dan China, India, Korea Selatan, Jepun, Australia, Rusia serta Amerika Syarikat.

    “Pulau Pinang amat berbangga menjadi ibu kota catur ASEAN dan ia bukan sekadar pertarungan minda, tetapi medan memperkukuhkan hubungan serantau dan mempromosi destinasi pelancongan negeri ini,” katanya pada sidang akhbar mengenai Kejohanan Catur Kumpulan Umur ASEAN+ Ke-23, di sini hari ini.

    Turut hadir Presiden Persatuan Catur Pulau Pinang, See Swee Sie dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) Harry Chai Heng Hua.

    Gambar Freepik

    Wong berkata kejohanan yang bermula sejak tahun 2000 itu kini telah berkembang menjadi platform antarabangsa dengan penyertaan negara-negara bukan sahaja dari ASEAN malah peserta dari seluruh dunia.

    Beliau kejohanan kali ini menawarkan gelaran langsung daripada Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE) dan ia menjadikannya peluang keemasan bagi pemain yang bercita-cita tinggi untuk melonjakkan karier dalam catur ke peringkat lebih tinggi.

    “Ini satu penghormatan bukan sahaja buat Pulau Pinang, tetapi juga Malaysia. Kami ingin menjemput semua, sama ada pemain berpengalaman, pelajar, ibu bapa atau pencinta catur untuk turut serta menjayakan kejohanan ini.

    “Pendaftaran pemain bagi kejohanan itu masih dibuka sehingga 21 Jun dan ia melibatkan pelbagai kategori umur, bermula daripada bawah enam tahun sehingga ke kategori baharu iaitu warga emas berusia 65 tahun ke atas,” katanya.

    Sementara itu Wong berkata lokasi kejohanan di Hotel Berjaya Penang yang terletak di pusat bandar George Town dan diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, akan memberi lebih tarikan kepada peserta dan pengunjung kerana mereka dapat menikmati keunikan budaya, makanan dan warisan tempatan selepas tamat perlawanan.

    Beliau berkata kejohanan itu bukan sahaja menjadi medan persaingan, tetapi juga platform bagi memperkukuhkan hubungan serantau, memupuk minat generasi muda terhadap sukan minda, dan memperkenalkan Pulau Pinang sebagai ibu kota catur Asean yang baharu. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda