TAWAU, 9 JULAI – Kawasan Pulau Sebatik di sini khususnya lokasi Sungai Haji Kuning serta Sungai Melayu yang terletak di sempadan antarabangsa Malaysia-Indonesia dilihat berpotensi untuk dimajukan sebagai bandar sempadan.
Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Abdul Muis Picho berkata perkara itu dilihat daripada prospek kependudukan serta pasaran besar daripada wilayah Kalimantan Utara (Kaltara), Indonesia yang bersempadan dengan Sebatik, Malaysia.
“Kaltara memiliki tiga juta penduduk dan kerana kita bersempadanan dengan Kaltara, ertinya kita nampak pasaran besar, (apabila) Sebatik membangun (bandar sempadan), boleh menjadi One Stop Centre untuk orang dari negara jiran (Indonesia) datang berbelanja di Sebatik.
“Secara langsung adanya bandar sempadan ini, membantu merancakkan ekonomi negeri dan menjana pendapatan penduduk setempat,” katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau di sini, baru-baru ini. Abdul Muis berkata Pulau Sebatik juga mempunyai tarikan tersendiri dari segi pelancongan.
“Berdasarkan kajian Universiti Malaysia Sabah (UMS), pulau ini memiliki banyak produk pelancongan termasuk pulau pendaratan penyu, kita ada kelip-kelip, ada sarang kelawar, ikan lumba-lumba selain pesisiran pantai yang pasirnya cantik,” katanya lagi.
Sementara itu, katanya pewujudan bandar sempadan bermula dengan persempadanan jelas, dan Jabatan Ukur Tanah dan Pemetaan Malaysia (Jupem) ketika ini sedang menjalankan kerja-kerja mengukur semula sempadan di Pulau Sebatik.
“Kerajaan Indonesia memberi kerjasama kepada Malaysia untuk pengukuran semula dan peletakan batu sempadan selepas lebih 40 tahun, Indonesia tidak memberi kerjasama,” katanya.
Seiring perkara itu juga, Abdul Muis akan memohon kepada kerajaan agar mengukuhkan kawalan keselamatan di kawasan itu dengan meletakkan batalion rejimen sempadan di Pulau Sebatik.
“Kita minta seperti di Sarawak yang menjaga sempadan di sana dan kita mahu ada juga di Pulau Sebatik bagi memantau keselamatan di kawasan sekitar,” katanya.
Menurutnya, pewujudan kem rejimen sempadan di pulau itu selaras dengan pembangunan kawasan sekali gus menangani pencerobohan sempadan oleh pendatang asing tanpa izin. – Bernama