Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Minggu Lautan Brunei membuka tirainya dengan majlis perasmian yang berlangsung di Jeti Jabatan Perikanan, Pantai Serasa, hari ini.
Hadir untuk sama-sama menyaksikan perasmian berkenaan selaku tetamu kehormat ialah Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Luke Arnold. Turut hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Perancis ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Bernard Regnauld-Fabre dan Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Ambra Dickie.
Sebanyak 10 bola karang termasuk bola karang ke-100 telah ditempatkan di Pelong Rock sebagai sebahagian daripada perasmian Minggu Lautan Brunei.
Dalam ucapan alu-aluannya, Ketua Pegawai Eksekutif Poni Divers dan Pengasas Poni Foundation, Awang Mohd Tansin Wong bin Abdullah berkata bahawa Minggu Lautan Brunei bermatlamat untuk mengumpulkan perniagaan, kerajaan, organisasi dan sekolah untuk membincangkan cabaran dan penyelesaian pemuliharaan marin setempat serta seluruh dunia.
Beliau menambah, ia juga bermatlamat untuk memberikan inspirasi kepada generasi pelindung lautan akan datang dan melengkapkan mereka dengan kemahiran untuk membina masa depan mampan bagi ekonomi biru Negara Brunei Darussalam.
Dengan menumpukan kepada pendidikan, penglibatan dan pemerkasaan, Minggu Lautan Brunei dihasratkan untuk memastikan golongan muda negara adalah siap siaga untuk menangani cabaran alam sekitar masa hadapan dan menyumbang kepada kelestarian ekosisten marin negara.
Kesemua acara semasa Minggu Lautan Brunei adalah percuma dan ditaja oleh Bank Baiduri, Suruhanjaya Tinggi Australia di Negara Brunei Darussalam, Bank Islam Brunei Darussalam, Progresif Sdn Bhd, Tyre Solutions, Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd, Armada Housing dan Brunei LNG Sdn Bhd.