ORLANDO, 28 MAC – Christian Pulisic menjaringkan hatrik ketika Amerika Syarikat (AS) membelasah Panama 5-1 semalam untuk mengesahkan kelayakan mereka ke Piala Dunia 2022.
Pulisic menjaringkan dua gol penalti pada separuh masa pertama – kedua-duanya diberikan ke atas kapten Panama Anibal Godoy – sebelum menyempurnakan jaringan ketiga dalam separuh masa kedua untuk menjamin AS satu tempat dalam final di Qatar tahun ini.
Jesus Ferreira dan Paul Arriola meledakkan gol seterusnya untuk AS dalam kemenangan di Stadium Orlando Exploria yang menamatkan harapan Panama untuk melayakkan diri dari rantau CONCACAF.
Kemenangan itu bermakna AS hanya perlu mengelakkan satu kekalahan dalam perlawanan final mereka menentang Costa Rica pada Rabu untuk kelayakan secara automatik.
Amerika Syarikat memperoleh 25 mata daripada 13 perlawanan, sementara Costa Rica tiga mata ketinggalan di belakang ekoran kemenangan mereka ke atas El Salvador semalam.
Dengan AS memiliki perbezaan gol yang besar, Costa Rica perlu menang sebanyak enam gol untuk merebut satu daripada tiga tempat kelayakan automatik yang ditawarkan kepada pasukan dari Amerika Tengah, Amerika Utara dan Caribbean.
“Pada malam di mana kami perlu mendapatkan kemenangan besar, kami berjaya melakukannya,” kata jurulatih AS Gregg Berhalter. “Kami membantu merapatkan perbezaan gol dan usaha tersebut menerima ganjaran.
“Panama sedang bertarung nyawa mereka dan pemain melakukan kerja yang bagus.”
Kemenangan semalam menebus kegagalan AS untuk melayakkan diri ke final Piala Dunia 2018 di Rusia. – AFP
