MILAN, 12 JULAI – Penyerang Amerika Syarikat (AS), Christian Pulisic tiba di Itali hari ini untuk menjalani ujian perubatan dengan AC Milan sebelum perpindahan yang dijangkakan dari Chelsea.
Pemain berusia 24 tahun itu, yang mempunyai baki kontrak setahun bersama Chelsea, dijangka menandatangani perjanjian selama empat tahun bersama The Rossoneri dan menjadi pemain AS ketiga yang bermain untuk kelab tersebut selepas Oguchi Onyewu dan Sergino Dest.
“Saya sangat gembira di sini. Saya merasa teruja. Saya teruja dengan permulaan bersama kelab bersejarah ini,” Pulisic memberitahu wartawan yang menanti ketibaannya di lapangan terbang Malpensa, Milan. “Ia sangat luar biasa dan saya teruja untuk datang ke sini dan cuba memenangi beberapa gelaran di sini.”
Milan merupakan juara Eropah tujuh kali dan kali terakhir memenangi gelaran Serie A ke-19 adalah pada 2022. The Rossoneri tewas kepada seteru rapat Inter Milan di peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara pada musim lalu.
Milan, yang dimiliki oleh syarikat pelaburan Amerika RedBird, bersedia untuk membayar yuran perpindahan sebanyak 20 juta euro untuk khidmat Pulisic, menurut laporan Gazzetta dello Sport. – AP


