ORLANDO, 13 JUN – Amerika Syarikat (AS) kelmarin berjaya mengikat Brazil dengan keputusan seri 1-1 dalam perlawanan pemanasan badan terakhir menjelang Copa America.
Keputusan tersebut sekali gus meningkatkan semangat pasukan selepas kecundang 5-1 kepada Colombia tempoh hari.
Sepakan percuma dari kapten AS, Christian Pulisic pada separuh masa pertama berjaya menyamakan kedudukan selepas Brazil mendahului menerusi Rodrygo di Camping World Stadium di Orlando.
Gregg Berhalter yang berdepan desakan untuk meletak jawatan selepas pasukannya dibelasah Colombia, telah mencabar pemainnya untuk memberikan prestasi yang lebih baik menentang pemenang Piala Dunia lima kali itu.
Anak buah Berhalter memberikan reaksi positif dengan mempamerkan persembahan yang mantap dan mencatat keputusan seri pertama menentang Brazil selepas 18 kekalahan dalam 19 pertemuan terdahulu.
Penjaga gol AS, Matt Turner menjadi wira AS dengan beberapa halangan yang baik untuk mengekang Brazil.
Separuh masa pertama yang menghiburkan menyaksikan Turner mengecewakan Brazil pada awal permainan ketika pasukan Amerika Selatan itu mencipta rentetan percubaan selepas pembukaan.
Namun tekanan awal Brazil akhirnya membuahkan hasil selepas 17 minit, apabila kesilapan sepakan Turner menyerahkan bola kepada Brazil dalam kawasan AS sebelum Raphinha menghantar bola kepada Rodrygo yang dengan mudah mengawal bola dan menghasilkan jaringan rendah ke sudut gawang.
Namun AS enggan menyerah dan pada minit ke-24, Pulisic memecut ke kawasan Brazil sebelum dikasari oleh Joao Gomes untuk memenangi sepakan percuma dalam kedudukan berbahaya.
Pulisic mengambil kesempatan sepenuhnya apabila merembat rendah ke sudut bawah untuk menjadikan kedudukan 1-1.
Separuh masa kedua menyaksikan Brazil terus mengancam, namun AS yang hampir memecah kebuntuan apabila serangan balas dari Weston McKennie mencari Pulisic di dalam kawasan Brazil tetapi percubaannya terlalu dekat dengan Alisson, yang secara refleks menghalang ke kiri untuk menafikan gol AS. – AFP