Puluhan burung ditemui disumbat dalam botol

FAKFAK, INDONESIA, 20 NOV – Puluhan burung Nuri yang dimasukkan ke dalam botol air plastik telah ditemui dalam sebuah kapal yang berlabuh di wilayah Papua, kata pihak berkuasa hari ini.

Polis di kota Fakfak berkata, kru kapal melaporkan terdengar bunyi bising yang datang dari sebuah kotak besar di mana 64 burung Black-Capped Lories hidup dan 10 burung lainnya lagi mati ditemui pagi kelmarin.

Burung Black-Capped Lories merupakan sejenis burung Nuri asli New Guinea dan pulau-pulau kecil yang berdekatan.

“Kru kapal memberitahu kami bahawa mereka mengesyaki terdapatnya haiwan di dalam kotak itu selepas mereka terdengar bunyi aneh,” kata jurucakap polis tempatan, Dodik Junaidi.

Tiada penangkapan yang dilakukan setakat ini dan destinasi burung yang diseludup itu juga masih tidak jelas, tambahnya.

Hutan luas di Indonesia merupakan habitat lebih dari 130 spesies burung yang terancam, menurut TRAFFIC, pengawas perdagangan hidupan liar, lebih banyak daripada negara lain kecuali Brazil.

Tetapi ada juga perdagangan burung secara besar-besaran, yang menyaksikan haiwan tersebut dijual di kota-kota besar Indonesia, atau diseludup ke luar negara.

Burung eksotik biasanya diburu dan diperdagangkan oleh kumpulan penyeludup untuk dijual sebagai haiwan peliharaan dan simbol status. Harga spesies burung tertentu, seperti burung kakak tua Australia, boleh mencapai sehingga AS$30,000 dalam pasaran gelap.

Pada tahun 2017, pihak berkuasa Indonesia menjumpai kira-kira 125 burung eksotik yang disumbat di dalam paip pembuangan semasa serbuan penyeludupan hidupan liar. – AFP

Gambar pada 19 November menunjukkan pihak berkuasa ketika mengeluarkan burung Nuri dari botol plastik yang ditemui di sebuah kapal yang berlabuh di wilayah Papua. – AFP