Friday, July 25, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Puluhan burung merak lesap dari hotel bersejarah di California

    WALNUT GROVE, CALIFORNIA, 23 JULAI — Puluhan burung merak jantan dan betina yang menjadi simbol ikonik di sebuah hotel bersejarah berkonsep Art Deco di Delta Sacramento dilaporkan hilang secara misteri dan disyaki telah dicuri, menurut kakitangan hotel berkenaan, kelmarin.

    Kehilangan itu hanya disedari selepas seorang pelanggan Hotel Ryde pada Ahad lalu memaklumkan melihat dua lelaki menangkap seekor burung dan memasukkannya ke dalam sangkar di atas sebuah trak pikap. Menurut Pengurus Besar hotel, David Nielsen, hanya empat ekor burung eksotik itu yang masih ada selepas pengiraan dilakukan semula oleh kakitangan.

    “Kami tidak pasti mengapa ada pihak tergamak melakukan perkara sebegini. Seluruh staf amat berduka,” katanya dalam kenyataan.

    Menurut jurucakap Pejabat Sheriff Daerah Sacramento, Sarjan Amar Gandhi, kes tersebut kini disiasat sebagai jenayah harta benda. Nilai pasaran seekor merak jantan dianggarkan sekitar AS$2,000 manakala merak betina sekitar AS$1,000. Namun, pihak berkuasa belum mendedahkan maklumat lanjut setakat ini.

    Difahamkan, pemilik hotel tersebut membeli lima ekor burung merak 14 tahun lalu untuk menghiasi kawasan hotel. Burung-burung tersebut kemudiannya bertambah sehingga menjadi sebahagian daripada identiti hotel, sejajar dengan unsur estetika reka bentuk Art Nouveau yang sinonim dengan imej burung tersebut.

    Nielsen berkata burung-burung itu telah menjadi jinak hasil penjagaan rapi kakitangan hotel, yang sering memberi sisa makanan mewah seperti filet mignon, rusuk panggang dan salmon. Malah, ada antara burung tersebut diberi nama kerana keakraban dengan pekerja hotel.

    Penyelaras Katering hotel, Rafe Goorwitch mengakui memberi makan kepada kira-kira 15 ekor burung tersebut sebanyak dua kali sehari.

    Beliau menamakan seekor burung paling besar sebagai ‘Ali baba’, atau ‘Baba’, kerana sering berkeliaran dalam hotel seolah-olah ia pemilik premis tersebut. – AP

    Seekor burung merak berkeliaran di kawasan di Hotel Ryde pada 22 Julai. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda