CALIFORNIA, 10 MEI – Puluhan burung undan yang sakit dan kelaparan telah ditemui di komuniti pantai California dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan banyak lagi yang telah mati.
Anggota penyelamat menemui puluhan burung undan yang sakit awal minggu ini di jeti di pantai Newport Beach dan memanggil pakar hidupan liar untuk membantu.
Debbie McGuire, Pengarah Eksekutif Pusat Penjagaan Tanah Lembap dan Hidupan Liar di Huntington Beach, berkata burung-burung itu merupakan kumpulan terbaharu yang cuba diselamatkan mereka selepas mengambil lebih 100 ekor burung undan lain yang mengalami anemia, dehidrasi dan hanya separuh daripada berat badan yang sepatutnya.
Tidak jelas apa yang menyebabkan burung itu sakit. Beberapa pakar hidupan liar menyatakan bahawa burung undan itu mengalami kekurangan zat makanan walaupun hidupan marin banyak terdapat di luar Pantai Pasifik.
Bird Rescue, yang mengendalikan dua pusat hidupan liar di California Utara dan Selatan, melaporkan 110 burung undan sakit dalam tempoh tiga minggu lalu, kebanyakannya tersangkut dalam pancing atau mata kail. Kumpulan itu menyatakan bahawa kejadian serupa berlaku pada 2022.
Organisasi hidupan liar memberikan tumpuan kepada penjagaan burung berkenaan sehingga ia boleh dilepaskan semula ke alam semula jadi. – AP


