Puluhan dikhuatiri maut letupan gunung berapi di NZ

WELLINGTON, 9 DIS – Lima disahkan maut manakala berdozen lagi masih hilang dalam kejadian letusan gunung berapi di sebuah pulau di New Zealand hari ini, menurut polis.

Dalam kenyataan terbaharu daripada Timbalan Pesuruhjaya Polis New Zealand, John Tims, menjelaskan mangsa-mangsa yang hilang kemungkinan besar mati.

Polis mengatakan lebih kurang 50 orang telah melawat White Island apabila ia meletup awal petang tadi- memuntahkan abu dan batu ke udara.

Seramai 23 orang berjaya keluar dari pulau tersebut, lima daripadanya tidak berjaya menyelamatkan diri dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mangsa yang selamat telah dirawat kerana kecederaan dan terbakar teruk. Jumlah kematian sebenar di pulau tersebut masih belum dapat dipastikan.

Menurut polis walaupun terdapat beberapa pesawat peninjau di udara namun mereka masih gagal untuk mencari mangsa yang terperangkap di pulau tersebut dan tidak ada tanda-tanda mereka terselamat.

“Menurut maklumat yang kami terima, kami percaya tidak ada mangsa yang terselamat di pulau tersebut. Polis sedang berusaha segera mungkin untuk mengesahkan jumlah sebenar kematian yang ada.”

Menjelang malam, John Tims berkata, misi penyelamat melalui darat sangat berbahaya bagi misi letupan gunung berapi ini. “Saya perlu mempertimbangkan keselamatan rakyat dan anggota penyelamat yang ada,” katanya.

Tentera New Zealand akan dijangka memasuki pulau tersebut pada awal pagi kelak dan berharap dapat menyelamatkan mangsa yang mungkin masih terselamat.

Letupan tersebut berlaku selepas jam dua petang waktu tempatan, mengeluarkan abu putih tebal setinggi 3.6km ke langit. – AFP

Paramedik memasukkan mangsa insiden letusan gunung berapi di White Island, New Zealand ke dalam ambulans untuk dibawa ke hospital berdekatan, 9 Disember. – AP