NEW DELHI, 29 OKT – Puluhan orang, kebanyakannya dari kumpulan sayap kanan Hindu diberkas hari ini di India kerana mengganggu jemaah Muslim yang berhimpun untuk bersembahyang, media tempatan melaporkan, dalam satu lagi tanda terkini ketegangan sektarian di negara itu.
Kumpulan Hindu sudah mendesak pihak berkuasa selama berminggu-minggu di bandar Gurgaon di pinggir India untuk menghalang umat Islam menunaikan sembahyang Jumaat di tempat terbuka.
Polis hari ini mengerahkan ratusan lagi pegawai polis dan memberkas sekurang-kurangnya 30 orang ketika penduduk tempatan dan kumpulan Hindu melaungkan slogan, lapor media tempatan.
Pengkritik menuduh parti Perdana Menteri Narendra Modi, Bharatiya Janata (BJP) menindas minoriti, termasuk populasi Muslim seramai 200 juta orang di India.
Kerajaan Modi menolak agenda Hindu dan menekankan bahawa rakyat dari segenap lapisan agama mempunyai hak yang sama.
Negeri Haryana yang mana Gurgaon – juga digelar Gurugram – adalah ibu negerinya, diperintah oleh parti BJP.
Ia bukanlah kali pertama insiden seumpamanya dilaporkan di bandar itu, lokasi bagi beberapa syarikat multinasional.
Dalam 2018, ramai daripada komuniti majoriti Hindu membangkitkan bantahan serupa ke atas orang Islam yang bersembahyang di tempat terbuka. – AFP
