NEW DELHI, 11 NOV – Polis India menahan puluhan suspek selepas memberi komen di media sosial yang boleh menggugat keharmonian kaum.
Pelbagai komen di Facebook, Twitter dan YouTube itu mula tular sebaik Mahkamah Agung memutuskan sebuah kawasan ibadat yang sebelum ini digunakan sebagai masjid diberikan kepada penganut Hindu, kata pihak berkuasa.
Lokasi tapak di Ayodhya, utara negeri Uttar Pradesh itu sebelum ini pernah mengakibatkan ribuan terkorban akibat rusuhan kaum.
Sekurang-kurangnya 77 orang ditahan di negeri Uttar Pradesh sebaik keputusan mahkamah diumumkan, kata polis dalam satu kenyataan.
Seorang warden penjara di bandar Gwalior turut ditahan kerana membakar bunga api selepas penganut Hindu dianugerahkan tapak berkenaan.
Masjid terbabit sudah berada di Ayodhya sejak hampir lima abad lalu, namun penganut Hindu mendakwa ia dibina di tempat kelahiran Dewa Rama.
Pelampau dan samseng bertindak merobohkan masjid terbabit pada 1992 sehingga mencetus rusuhan yang mengakibatkan 2,000 orang terkorban. Mengikut keputusan Mahkamah Agung, penganut Islam akan diberikan plot tanah lain di Ayodhya untuk membina masjid baharu.
Beberapa pemimpin nasionalis Hindu masih berdepan perbicaraan berhubung insiden merobohkan masjid pada 1992 itu. – AFP