SYDNEY, 25 JULAI – Puluhan ikan paus terdampar di pantai di Australia Barat hari ini, kata pegawai hidupan liar, selepas sekumpulan 60 hingga 70 haiwan itu ditemui berkumpul di luar pantai.
Imej video yang disiarkan di media Australia menunjukkan sekurang-kurangnya 20 daripada paus hitam bersirip panjang meronta-ronta di atas pasir Pantai Cheynes berhampiran Albany, sekitar 400 kilometer dari tenggara Perth.
“Ikan paus itu datang ke darat,” beritahu jurucakap jabatan biodiversiti dan pemuliharaan negeri itu kepada AFP, menganggarkan sekurang-kurangnya separuh daripada ikan paus telah terdampar pada lewat petang.
“Kami sedang mengusahakan tindak balas kecemasan,” katanya, ketika pakar ikan paus terdampar bertemu untuk memutuskan strategi.
Perkhidmatan hidupan liar Australia Barat berkata ia menghargai tawaran orang ramai untuk membantu.
“Bagaimanapun, keselamatan orang ramai dan ikan paus menjadi keutamaan kami, jadi kami meminta orang ramai tidak mendekati pantai,” katanya dalam satu kenyataan.
Perkhidmatan hidupan liar berkata sebelum ini ia sedang memantau paus tersebut, bimbang ada yang mula terkandas. Perkhidmatan itu telah menyiarkan gambar di media sosial yang menunjukkan beberapa haiwan di perairan cetek kira-kira 150 meter di luar pantai sebelum ia mula menuju ke pasir. – AFP