DENPASAR, 11 JUN – Polis Indonesia telah menahan puluhan individu di pulau peranginan Bali kerana disyaki menjalankan sindiket penipuan cinta yang menyasarkan lelaki Amerika, kata pihak berkuasa hari ini.
Polis membuat tangkapan selepas menerima maklumat mengenai aktiviti mencurigakan di sebuah rumah sewa di Denpasar, bandar pulau tersebut.
Seramai 38 suspek, termasuk tujuh wanita, telah ditahan.
“Mereka menyamar sebagai wanita dengan menggunakan gambar dan identiti palsu untuk memperdaya mangsa,” kata Ketua Polis Bali, Daniel Adityajaya dalam sidang media.
Scammer itu mengaku bekerja untuk seseorang yang mengawal operasi tersebut dari Kemboja bagi memancing lelaki-lelaki Amerika untuk menyerahkan maklumat sulit, katanya lagi.
Mereka menghubungi mangsa melalui aplikasi Telegram dan menghantar pautan palsu.
Menurut Daniel, setiap suspek dibayar AS$200 sebulan untuk mencuri data dan maklumat mangsa.
Kesemua suspek adalah warga Indonesia dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 12 tahun jika didapati bersalah melanggar undang-undang transaksi elektronik negara. – AFP


