Puluhan kes baharu Omicron dikesan di UK, Denmark

LONDON, 7 DIS – Puluhan kes baharu jangkitan COVID-19 varian Omicron dilaporkan di Britain dan Denmark, sekali gus meningkatkan kebimbangan di seluruh Eropah bahawa virus itu makin menular.

Varian koronavirus itu merebak ke sekurang-kurangnya 45 negara di serata dunia, dengan Amerika Syarikat (AS) dan sebahagian besar Eropah melaporkan beberapa kes baharu sejak bebe-rapa hari kebelakangan ini.

Dengan kes Omicron terus meningkat di seluruh dunia, jangkaan sekatan akan diperketat terus membayangi musim perayaan ini, di mana ramai mengharapkan keadaan akan kembali pulih seperti sedia kala.

Kelmarin, agensi keselamatan kesihatan Britain mengesahkan penambahan 86 kes dari varian Omicron, menjadikan jumlah keseluruhan 246 kes sementara pihak berkuasa di Denmark melaporkan 183 kes varian berkenaan. Kedua-dua negara dilihat sebagai negara utama dalam melakukan aturan genom dan ujian, memberi mereka kelebihan dalam menjejak penularan virus dan pembiakannya.

Kerajaan Britain kini mewajibkan pengembara yang ingin memasuki UK mengemukakan keputusan saringan COVID-19 negatif sebelum berlepas, sebagai langkah pencegahan susulan kebimbangan penularan varian Omicron. – AFP