SYDNEY, 2 OKT – Pengeluar lebih sedozen krim pelindung matahari telah menghentikan jualan di Australia selepas analisis oleh sebuah kumpulan advokasi pengguna mendapati banyak daripada produk tersebut tidak memberikan faktor perlindungan matahari seperti yang didakwa pengeluar.
Menghabiskan hari yang panas di bawah matahari sudah menjadi kebiasaan dalam kehidupan seharian penduduk di Australia, sebuah negara yang terkenal dengan cuaca baik dan gaya hidup yang gemar aktiviti luar.
Namun, Australia juga mencatat kadar kanser kulit tertinggi di dunia, hampir 19,000 rakyatnya dianggarkan menghidap melanoma pada 2024, menurut data rasmi.
Siasatan oleh kumpulan pengguna CHOICE pada Jun lalu mendapati daripada 20 jenama krim pelindung matahari popular yang diuji, hanya empat menepati tuntutan Faktor Perlindungan Matahari (SPF) mereka.
Siasatan susulan oleh Pentadbiran Barangan Terapi (TGA) yang dikeluarkan Selasa lalu mengenal pasti 21 krim pelindung matahari yang mungkin tidak mencapai tahap perlindungan seperti yang didakwa.
Dalam beberapa kes, produk yang mendakwa mempunyai faktor perlindungan 50+ “tidak mungkin melebihi SPF 21,” kata pihak berkuasa.
Daripada krim yang dikenal pasti, lapan telah ditarik balik secara sukarela, 10 digantung jualannya, dua sedang disemak dan satu lagi tidak dijual secara nasional, menurut pihak berkuasa itu. – AFP


