SEMENANJUNG GAZA, 24 SEPT – Para pekerja Palestin di Semenanjung Gaza telah menemui puluhan kubur purba, termasuk dua sarkofagus (keranda batu)diperbuat daripada plumbum, di tapak perkuburan zaman Rom tapak berusia kira-kira 2,000 tahun dan dianggap sebagai kubur terbesar yang pernah dijumpai di Gaza menurut ahli arkeologi.
Penemuan itu berlaku semasa pembinaan projek perumahan yang dibiayai oleh Mesir di sekitar Jabaliya, utara Jalur Gaza, tahun lalu.
Sejak itu, pasukan arkeologi bekerjasama dengan pakar dari Perancis untuk menggali tapak seluas 2,700 meter persegi itu.
Kini, kawasan yang dahulunya merupakan kawasan pembinaan yang tidak menonjol dikelilingi oleh bangunan-bangunan flat biasa menjadi tapak arkeologi yang penting bagi penyelidik yang ingin memahami lebih lanjut tentang sejarah dan budaya Gaza.
Gaza, satu wilayah pesisir yang dihuni oleh kira-kira 2.3 juta orang, mempunyai sejarah yang kaya disebabkan lokasinya di laluan perdagangan purba antara Mesir dan Levant.
Namun, banyak faktor seperti penjajahan Israel, pengambilalihan wilayah oleh Hamas selama 16 tahun dan pertumbuhan pesat bandar yang telah membahayakan banyak peninggalan arkeologi di wilayah yang terpencil ini.
Penemuan 60 kubur di tapak ini pada Januari adalah suatu pencapaian besar, menurut ahli arkeologi, dan bilangan itu kini telah meningkat kepada 135 kubur.
Rene Elter, ahli arkeologi Perancis yang memimpin penggalian itu berkata bahawa penyelidik telah mengkaji lebih daripada 100 kubur.
“Kesemua kubur ini hampir kesemuanya telah digali dan telah mendedahkan banyak maklumat tentang bahan-bahan budaya serta keadaan kesihatan dan patologi penduduk pada zaman itu,” kata Elter, yang juga merupakan ketua arkeologi untuk program ‘Intiqal,’ yang diuruskan oleh badan bukan keuntungan Perancis, Premiere Urgence Internationale. – AFP