Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Puluhan masih tertimbus

    JAKARTA, 27 Feb – Tiga orang terkorban sementara puluhan yang lain masih tertimbus dalam kejadian lombong emas haram runtuh di Indonesia, menurut agensi bencana negara hari ini.

    Pasukan menyelamat bergelut untuk mencari mangsa yang terselamat di bawah runtuhan batu selepas kejadian tersebut mencetuskan tanah runtuh malam kelmarin, menurut agensi tersebut.

    Tiga orang telah ditemui terkorban sementara, seramai 14 orang berjaya dikeluarkan daripada runtuhan batu dalam keadaan masih hidup, menurut pihak berkuasa.

    “Semasa puluhan pekerja melakukan kerja-kerja perlombongan di lokasi tersebut, secara tiba-tiba rasuk dan papan penyokong patah disebabkan oleh keadaan tanah yang tidak stabil,” kata jurucakap agensi bencana, Sutopo Purwo Nugroho.

    “Ia dianggarkan sehingga 60 orang masih tertanam di bawah tanah.”

    Menurut pihak berkuasa pagi hari ini, para mangsa telah memberi respons kepada pasukan menyelamat tetapi ia masih belum jelas berapa jumlah yang masih hidup.

    Usaha untuk menyelamatkan mangsa terjejas akibat keadaan tanah yang tidak stabil disebabkan beberapa lubang yang digali oleh para pelombong.

    “Kita tidak boleh menggunakan jentera berat kerana lokasi tersebut sangat curam, ia boleh membahayakan mangsa,” menurut Paputungan.

    Negara itu memiliki beberapa tapak perlombongan emas yang tidak berlesen yang tidak mematuhi beberapa peraturan keselamatan.

    Pada 2016, seramai 11 pelombong Indonesia terkorban selepas gelongsoran lumpur menenggelamkan perlombongan emas haram di wilayah Jambi.

    Sementara itu, seramai 12 orang terbunuh pada Oktober 2015 apabila aci lombong runtuh selepas mereka menggali terowong di sebuah perlombongan yang tidak digunakan lagi di pulau Jawa untuk mencari emas. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda