FREETOWN, SIERRA LEONE, 26 SEPT – Puluhan pekerja pembinaan dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan bangunan di selatan Sierra Leone, hari ini.
Perkhidmatan penyelamat berkata, bangunan tiga tingkat runtuh di wilayah Bo, bandar kedua terbesar di negara itu yang terletak kira-kira 250 kilometer dari ibu negara Freetown.
Sekurang-kurangnya 50 orang dikhuatiri terbunuh selepas bangunan tiga tingkat yang sedang dalam pembinaan runtuh di Bo, bandar kedua terbesar di Sierra Leone, memetik penyiar tempatan, lapor agensi berita Anadolu.
Penolong Ketua Polis Saidu Kamara berkata kepada Radio Demokrasi Sierra Leone, dalam kejadian pada Rabu itu 10 mangsa telah diselamatkan tetapi sekurang-kurangnya 50 lagi dikhuatiri masih terperangkap.
“Mangsa yang diselamatkan dihantar ke hospital kerajaan Bo. Suasana suram menyelubungi lokasi kejadian.
“Anggota penyelamat akan meneruskan usaha mencari dan mencuba untuk menyelamatkan lebih ramai lagi mangsa,” katanya.
Sementara itu, pegawai pengurusan jabatan bencana memberitahu AFP, lebih 80 orang dijadualkan bekerja di lokasi semasa kejadian, namun berapa ramai pekerja terperangkap tidak diketahui.
Setakat ini, beberapa orang pekerja berjaya dikeluarkan dari runtuhan bangunan itu dan dibawa ke hospital selepas mengalami kecederaan serius.
Punca kemalangan bagaimanapun masih belum diketahui.
Operasi mencari dan menyelamat turut dibantu saudara-mara mangsa, golongan belia dan kakitangan kecemasan. – Bernama/AFP