Puluhan penguin spesies terancam mati disengat lebah

PORT ELIZABETH, AFRIKA SELATAN, 20 SEPT – Lebih 60 ekor penguin yang juga spesies terancam Afrika mati akibat sengatan lebah di pantai luar Cape Town, menurut Yayasan Afrika Selatan untuk Pemuliharaan Burung Pesisir, semalam.

“Selepas diperiksa, kami temui sengat lebah sekitar mata 63 ekor penguin.

“Kejadian ini sangat jarang berlaku. Kami tidak menjangkakan ini akan berlaku dengan kerap, ia adalah satu kebetulan. Ada juga lebah yang ditemui mati di tempat kejadian,” beritahu doktor haiwan klinik yayasan itu, David Roberts kepada AFP. Kawasan terbabit adalah taman negara dan lebah madu Cape membentuk sebahagian daripada ekosistem.

“Penguin itu tidak sepatutnya mati seperti itu kerana ia adalah spesies terancam dan dilindungi,” katanya.

Sementara itu, Taman Negara Afrika Selatan berkata, bangkai burung terbabit sudah dibawa ke yayasan bagi bedah siasat dan sampelnya dihantar untuk ujian penyakit dan toksikologi. – AFP