BANGKOK, 14 OGOS – Pihak berkuasa Thailand telah menahan puluhan rakyat Kemboja dan Myanmar yang cuba menyeberang sempadan secara haram dalam beberapa hari kebelakangan ini, dengan ramai daripada mereka menyatakan kemiskinan teruk dan pengangguran di negara asal sebagai punca.
Tangkapan itu telah dijalankan susulan dakwaan semakin meningkat daripada pekerja Kemboja dan menyatakan mereka telah diperdaya oleh bekas Perdana Menteri, Hun Sen untuk pulang ke tanah air, namun akhirnya dibiarkan menganggur dan hidup dalam kesempitan.
Pihak berkuasa Thailand turut melaporkan trend penurunan pekerja yang pulang ke Kemboja, sebaliknya ramai cuba kembali memasuki Thailand.
Dalam satu operasi pada jam 1:20 pagi kelmarin, pasukan keselamatan Thailand di daerah Aranyaprathet menahan sekumpulan 10 rakyat Kemboja termasuk dua kanak-kanak.
Pasukan itu turut memaklumkan kepada pihak berkuasa mereka menuju ke Pasar Rong Kluea untuk mencari kerja mencuci kasut kerana ‘tidak mempunyai pendapatan untuk meneruskan hidup’ di Kemboja dan difahamkan mereka telah bersetuju untuk membayar seorang pemandu sebanyak 3,500 baht setiap seorang sebaik tiba.
Insiden berasingan pada 12 Ogos pula menyaksikan penahanan enam rakyat Myanmar dan seorang tekong Kemboja di daerah sama.
Manakala, tangkapan besar ketiga dilakukan pada 12 Ogos oleh Tentera Laut Diraja Thailand dan pasukan pertahanan sempadan di Chanthaburi di mana mereka menahan seorang pemandu Thailand bersama 46 rakyat Kemboja yang memasuki negara itu secara haram.
Semua suspek daripada insiden-insiden tersebut telah diserahkan kepada pihak penyiasat untuk dikenakan tindakan undang-undang. – ANN/ The Nation


