Puluhan ribu ingkar lockdown

DHAKA, 19 APRIL – Puluhan ribu orang melanggar perintah berkurung akibat koronavirus di Bangladesh kelmarin untuk menghadiri pengebumian seorang pendakwah Islam terkemuka, tatkala pihak berkuasa terus berjuang untuk mengekang penularan virus yang semakin meningkat.

Polis telah bersetuju dengan keluarga Jubayer Ahmad Ansari, bahawa hanya 50 orang sahaja akan menghadiri pengebumian di bandar timur Sarail berikutan kebimbangan penularan virus.

Tetapi ketua polis tempatan Shahadat Hossain mengatakan para pegawai tidak mampu untuk mengawal orang ramai yang datang untuk menghormati pendakwah dan ketua seminari terkenal berusia 55 tahun, yang meninggal dunia pada Jumaat.

“Orang ramai datang secara berkumpulan,” katanya kepada AFP.

Penganjur mengatakan kira-kira 100,000 telah menghadiri acara pengebumian itu. Pembantu Perdana Menteri Sheikh Hasina, Shah Ali Farhad, juga mengatakan lebih daripada 100,000 hadir. Bangladesh mengenakan perintah berkurung di seluruh negara pada 26 Mac selepas koronavirus menular di seluruh negara yang memiliki populasi seramai 168 juta orang itu.

Jabatan kesihatan mengatakan jumlah kes meningkat lebih dari 300 kelmarin kepada kira-kira 2,200, sementara sembilan lagi kematian dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah keseluruhan kepada 84 orang.

Pihak berkuasa telah melakukan beberapa ujian dan pakar mengatakan jumlah kes adalah lebih tinggi daripada yang dilaporkan.

Peraturan baharu melarang lebih daripada lima orang mengambil bahagian dalam solat di 300,000 masjid di negara ini. Perdana menteri meminta warga Bangladesh untuk melakukan solat di rumah ketika bulan Ramadan yang bakal menjelang. Tetapi sekumpulan ulama yang berpengaruh telah meminta umat Islam untuk hadir berjemaah setiap hari. – AFP

Ribuan penduduk Bangladesh ketika menghadiri pengebumian seorang pendakwah Islam terkemuka, kelmarin di Brahmanbaria ketika negara itu sedang mengenakan perintah berkurung. – AFP