ISLAMABAD, 3 JUN – Puluhan ribu kanak-kanak di Afghanistan masih terjejas akibat banjir kilat yang berterusan, terutamanya di utara dan barat, kata agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini.
Hujan lebat bermusim yang luar biasa telah mendatangkan malapetaka di beberapa wilayah negara, membunuh ratusan orang dan memusnahkan harta-benda dan tanaman. Agensi makanan PBB telah memberikan amaran bahawa ramai yang terselamat gagal mencari rezeki.
UNICEF, agensi kanak-kanak PBB, berkata cuaca ekstrem mempunyai semua ciri-ciri krisis iklim yang semakin meningkat, dengan beberapa kawasan yang terjejas mengalami kemarau pada tahun lalu.
Program Makanan Sedunia (WFP) mengatakan bahawa hujan lebat luar biasa di Afghanistan membunuh lebih daripada 300 orang dan memusnahkan ribuan rumah pada Mei, kebanyakannya di wilayah utara Baghlan. Mangsa yang terselamat telah kehilangan rumah, tiada tanah dan tiada sumber mata pencarian, kata WFP.
UNICEF berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa puluhan ribu kanak-kanak kekal terjejas akibat banjir yang berterusan.
“Komuniti antarabangsa mesti meningkatkan usaha dan pelaburan untuk menyokong komuniti bagi mengurangkan dan menyesuaikan diri dengan kesan perubahan iklim terhadap kanak-kanak,” kata Dr Tajudeen Oyewale, wakil UNICEF di Afghanistan. – AP


