Friday, May 9, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Puluhan ribu tunjuk perasaan AS bantah keganasan senjata api

    WASHINGTON, 12 JUN – Puluhan ribu penduduk di Amerika Syarikat (AS)  mengadakan tunjuk perasaan menentang keganasan senjata api kelmarin selepas beberapa siri tembakan besar-besaran sejak beberapa bulan kebelakangan ini, lapor agensi Anadolu.

    Protes tersebut dianjurkan oleh pertubuhan March For Our Lives, yang diasaskan pelajar yang terselamat daripada kejadian serangan beramai-ramai di sebuah sekolah di Parkland, Florida pada 2018.

    Di Washington DC, penunjuk perasaan dilihat berkumpul di kawasan National Mall, sambil membawa sepanduk tertera perkataan ‘Kawal senjata api sekarang,’ ‘Tamatkan keganasan senjata api,’ ‘Cukup setakat ini,’ dan ‘Lindungi kanak-kanak bukan senjata api.’

    Datuk Bandar Muriel Bowser turut menyampaikan ucapan kepada orang ramai di sekitar Monumen Washington, meminta Kongres melaksanakan undang-undang senjata api “yang masuk akal” untuk memerangi keganasan senjata api.

    Tunjuk perasaan dianjurkan di seluruh negara sebagai tindak balas terhadap insiden tembakan terbaharu di sekolah rendah di Uvalde, Texas dan serangan bersenjata yang bersifat perkauman di Buffalo, New York.

    Presiden AS Joe Biden berulang kali menggesa Kongres supaya meluluskan undang-undang senjata api  lebih ketat bagi mengurangkan keganasan di seluruh negara.

    Pada minggu ini, Dewan Rakyat meluluskan ‘Akta Perlindungan Kanak-Kanak’, bertujuan mencegah keganasan senjata api. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda