SYDNEY, 18 NOV – Pasir permainan kanak-kanak yang diimport dari China dikesan mengandungi asbestos sehingga memaksa puluhan sekolah di New Zealand ditutup hari ini, menurut Kementerian Pendidikan negara itu.
Penutupan tersebut berlaku ketika ratusan sekolah di Australia dan New Zealand bergegas menyemak penggunaan pasir berkenaan susulan amaran pencemaran yang dikeluarkan pihak berkuasa.
Jurucakap Kementerian Pendidikan New Zealand berkata sebanyak 40 sekolah dan pusat jagaan kanak-kanak ditutup bagi menjejak serta mengeluarkan pasir hiasan yang disyaki tercemar itu. Di Australia, lebih 70 sekolah turut diarahkan tutup kelmarin.
WorkSafe New Zealand memaklumkan beberapa kelompok pasir permainan tersebut disahkan mengandungi asbestos chrysotile, yang didakwa diimport dari China dan digunakan dalam aktiviti bilik darjah serta kerja kraf tangan di rumah.
Asbestos merupakan gentian mineral semula jadi yang sebelum ini digunakan secara meluas dalam industri pembinaan kerana ketahanannya terhadap haba, namun kajian menunjukkan pendedahan berpanjangan kepada gentian chrysotile mempunyai kaitan jelas dengan kanser paru-paru.
Sementara itu, pengawas keselamatan produk Australia menegaskan risikonya kekal rendah kerana ujian setakat ini tidak mengesan gentian asbestos boleh dihidu. Menurutnya, pelepasan gentian berbahaya hanya mungkin berlaku jika pasir diproses secara mekanikal seperti dihancurkan atau digiling.
Pihak berkuasa menekankan bahawa sebarang asbestos yang ditemui berkemungkinan berada di udara atau cukup halus untuk disedut adalah rendah. – AFP

