CALIFORNIA, 25 MAC – Sebanyak 47 telur dan 12 anak burung spesies Double-crested Cormorants berjaya diselamatkan dari sarang-sarang di sebatang pokok kayu putih yang hampir tumbang akibat angin kencang di sebuah taman di Marina del Rey, California.
Kini, kakitangan di Pusat Hidupan Liar Los Angeles sedang bekerja 24 jam sehari untuk memastikan anak-anak burung itu dapat dilepaskan kembali ke habitat semula jadinya dalam beberapa bulan akan datang.
Pokok tersebut telah dikenal pasti sebagai berisiko setelah salah satu batangnya tumbang dan merosakkan kawasan tong sampah, kata Nicole Mooradian, jurucakap Jabatan Pantai & Pelabuhan Los Angeles County.
“Ini bukan persoalan sama ada pokok ini akan tumbang, tetapi bila masanya,” katanya. “Rekahan semakin membesar setiap hari. Keadaannya benar-benar berbahaya.”
Bimbang akan risiko kepada orang awam di kawasan berhampiran, pihak berkuasa memutuskan untuk menebang pokok itu.

Pada 10 Mac lalu, selama lebih lima jam, kontraktor pokok bekerja dengan teliti, mengalihkan satu per satu sarang burung sebelum memotong dahan. Sementara itu, ahli biologi di darat mengumpulkan telur dan anak burung ke dalam kotak khas yang dilapisi selimut panas sebagai inkubator sementara.
Menurut Kylie Clatterbuck, pengurus pusat hidupan liar itu, burung Double-crested Cormorants sering bersarang secara berkumpulan dalam jumlah besar pada satu pokok, menjadikannya mudah terjejas jika habitat haiwan itu musnah.
Anak burung jenis itu sangat bergantung kepada ibu bapa selepas menetas kerana haiwan itu lahir tanpa bulu dan memerlukan makanan yang dimuntahkan oleh ibu bapa burung itu selama beberapa minggu.
“Ia satu tugas yang sangat mencabar kerana apabila menetas, anak burung hanyalah ‘bola kulit kecil’ yang sangat bergantung kepada penjagaan,” katanya.
Pihak pusat hidupan liar berharap burung-burung itu dapat dilepaskan kembali ke habitat semula jadi setelah burung itu cukup matang dan kuat. – AP