Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Puluhan terkorban akibat taufan, banjir di Filipina, Vietnam

    CEBU/HANOI, 4 NOV – Kira-kira 26 orang terbunuh dan ratusan ribu penduduk terpaksa dipindahkan selepas hujan lebat yang dibawa oleh Taufan Kalmaegi menyebabkan banjir besar di beberapa kawasan di tengah Filipina, hari ini.

    Beberapa bandar di pulau Cebu telah ditenggelami air sepenuhnya, manakala kereta, lori dan kontena penghantaran besar turut hanyut dibawa arus banjir berlumpur dalam rakaman video yang disahkan oleh AFP.

    Di Cebu sahaja, 21 orang kini disahkan meninggal dunia, menurut timbalan pentadbir pertahanan awam, Rafaelito Alejandro, kepada AFP melalui telefon, menjadikan jumlah korban semasa taufan itu 26 orang.

    Dalam tempoh 24 jam sebelum Kalmaegi melanda, kawasan sekitar bandar wilayah, Cebu telah ditenggelami oleh 183mm air hujan, jauh melebihi purata bulanan sebanyak 131mm, kata pakar cuaca negara, Charmagne Varilla kepada AFP.

    Pegawai bencana tempatan, Ethel Minoza memberitahu AFP, mayat dua kanak-kanak telah ditemui di Cebu, di mana pasukan penyelamat masih berusaha mencapai penduduk yang terperangkap akibat banjir.

    Anggota penyelamat membawa beg mayat, antara korban banjir akibat Taufan Kalmaegi di Cebu, Filipina pada 4 November. – AP

    Don del Rosario, 28, merupakan antara mangsa di Cebu yang mencari perlindungan di tingkat atas rumahnya ketika ribut melanda.

    Secara keseluruhan, hampir 400,000 orang telah dipindahkan lebih awal dari laluan taufan, kata Alejandro pada taklimat media, hari ini.

    Manakala di Vietnam, angka kematian akibat banjir selama seminggu dan hujan rekod di tengah Vietnam meningkat kepada 40 orang, menurut pihak berkuasa hari ini, ketika satu lagi taufan kuat dijangka melanda kawasan yang sudah pun terjejas teruk itu.

    Kawasan tengah Vietnam itu telah di badai oleh hujan lebat tanpa henti sehingga mengakibatkan jalan raya ditenggelami air dan menyebabkan tebing sungai pecah serta menenggelamkan beberapa tapak bersejarah paling terkenal di negara itu.

    Sehingga 1.7 meter hujan direkodkan dalam tempoh 24 jam, sekali gus memecahkan rekod negara tersebut.

    Kematian dilaporkan berlaku di wilayah Hue, Da Nang, Lam Dong dan Quang Tri, menurut agensi pengurusan bencana kementerian alam sekitar, yang turut menyatakan enam orang masih hilang.

    Taufan tersebut dijangka membadai pantai Vietnam dengan kelajuan angin sehingga 166 kilometer sejam sehingga Khamis, menurut jabatan cuaca kebangsaan.

    Hampir 80,000 rumah masih ditenggelami air, menurut agensi bencana, manakala lebih 10,000 hektar tanaman musnah dan lebih 68,000 ternakan dilaporkan mati. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda