Sunday, February 2, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pulut Panggang kegemaran ramai

    Oleh Afiq Zainuddin –

    Apa itu Pulut Panggang? Dari namanya sendiri sudah dapat diagak bahawa pulut adalah sejenis beras yang melekit dan kenyal setelah ia dimasak bersama santan dan air.

    Manakala panggang bermaksud dibakar di atas api.

    Tetapi sebelum dipanggang, nasi pulut terlebih dahulu dibungkus bersama daun pisang, daun nyirik atau daun pandan.

    Keenakan Pulut Panggang terletak kepada kepelbagaian inti yang dimilikinya seperti aroma yang dihasilkan daripada Pulut Panggang yang membuka selera apa lagi jika ia dihidang-kan ketika masih panas.

    Makanan tradisional masyarakat Brunei ini terus dikekalkan sehingga ke hari ini malah ia terus dipraktikkan oleh semua pembuat pulut panggang sama ada untuk dimakan ataupun dijual kepada orang ramai khususnya bagi mereka yang menggemari makanan tradisional itu.

    Foto Canva
    Cili kering yang siap direbus hendaklah dikisar sebelum mencampurkan bahan inti yang lain. – Foto Canva
    Bawang merah antara bahan penambah rasa. – Foto Canva
    Cuci beras pulut bersih-bersih. Rendam selama 30 minit. Kemudian kukus sehingga masak. – Foto Canva
    Foto Canva
    Sebelum menggunakan daun nyirik yang telah diambil, jemur sebentar di bawah sinaran matahari sehingga lembut agar mudah dibentuk bila dibalut nanti. – Foto Canva
    Udang kering perlu ditumbuk atau dikisar dan ditumis terlebih dahulu bersama ramuan lain. – Foto Canva

    Berkongsi secara ringkas mengenai bahan-bahan utama yang digunakan untuk menghasilkan hidangan ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu beras pulut, santan kelapa asli, minyak dan daun pandan bagi membuat pulut.

    Manakala penyediaan inti pula memerlukan bahan-bahan asas utama seperti udang kering atau daging kisar, cili kering, bawang putih, bawang besar, ketumbar, jintan manis, serai, serbuk kari ikan, kunyit, garam dan gula secukup rasa.

    Cara membuat pulut panggang adalah mula-mula kisar cili kering yang siap direbus bersama bawang merah, bawang putih, serai, ketumbar, jintan manis, serbuk kari dan kunyit. Kemudian panaskan minyak dalam kuali dan masukkan bahan yang dikisar ke dalamnya. Selepas itu ditumis sehingga garing, pecah minyak sehingga naik baunya.

    Seterusnya, kisar pula udang yang sudah siap dibuang kulit dan kepalanya, masukkan udang kisar itu ke dalam kuali. Selepas udang sudah sebati dengan bahan tumisan yang telah disediakan, masukkan pula kelapa parut lalu gaulkan kelapa parut itu dengan bahan lain. Jika kelapa parut itu tidak nampak sebati sepenuhnya dengan bahan itu, maka tambahkan lagi sedikit air.

    Selepas itu ditumis lagi sehingga kering, kemudian perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Setelah aduan beras pulut dan ramuan intinya sudah siap tersedia, maka proses pembuatannya menggabungkan beras pulut dan inti di bahagian tengah atas daun nyirik yang sudah dibersihkan, kemudian digulung dan disemat dengan potongan kecil batang lidi di bahagian luarannya supaya terbungkus rapi.

    Apabila pulut panggang itu sudah siap digulung, kemudian dibakar atas kuali ataupun dibakar atas bara api, apabila ia sudah selesai, ia pun sedia untuk dihidangkan.

    Bahan Pulut

    Beras pulut
    Cili kering
    Bawang putih
    Bawang merah
    Udang kering
    Halia
    Santan
    Kunyit
    Jintan putih
    Jintan manis
    Batang serai
    Kelapa (diparut) – jika suka
    Gula secukup rasa
    Garam secukup rasa

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda