Sunday, May 11, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Punca nahas pesawat China kekal misteri

    BEIJING, 21 APRIL – Punca nahas udara paling buruk di China dalam tempoh beberapa dekad akan terus menjadi misteri, dengan pihak berkuasa memberikan sedikit butiran dalam laporan awal kelmarin sambil menguatkuasakan penapisan ketat sebulan selepas kemalangan.

    Sejurus selepas nahas, kerajaan China segera bertindak mengawal maklumat, meningkatkan semula penapisan ketika pihak media dan penduduk setempat berlumba-lumba ke tapak kejadian.

    Ia masih mengawal ketat berita nahas, dengan siasatan awal mendapati soalan-soalan utama masih belum dijawab.

    Pesawat China Eastern MU5375 yang dalam perjalanan dari Kunming ke Guangzhou bulan lalu apabila ia secara tiba-tiba menjunam daripada ketinggian 29,000 kaki ke kawasan pergunungan, membunuh kesemua 132 orang yang berada di dalam kapal.

    Beijing diminta untuk menghantar laporan awal kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa dalam masa 30 hari.

    Gambar bertarikh 21 Mac menunjukkan para anggota mencari dan menyelamat berusaha mengumpulkan serpihan pesawat China Eastern MU5375 yang terhempas di wilayah Guangxi. Punca nahas udara paling buruk di China masih menjadi misteri. – AFP

    Menurut laporan, siasatan mendapati tiada bukti ‘sesuatu yang luar daripada kebiasaan’, menurut Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) kelmarin.

    Pengawal selia telah menyatakan bahawa ia tidak akan menunjukkan laporan awal itu kepada umum dan siasatan penuh mungkin akan mengambil masa bertahun-tahun.

    Dalam kenyataan, CAAC berkata kakitangan telah memenuhi syarat keselamatan sebelum berlepas, pesawat tidak membawa barang berbahaya dan tidak mengalami cuaca buruk.

    Tiada alasan yang diberikan mengapa pesawat malang itu menjunam secara tiba-tiba, begitu juga perkongsian butiran mengenai dua penjejak pesawat atau ‘kotak hitam’ yang telah ditemui.

    Peralatan itu – iaitu perakam suara kokpit dan penjejak data penerbangan – telah dianalisis di sebuah makmal Amerika Syarikat (AS) dengan bantuan penyiasat dari kerajaan AS.

    Nahas tersebut adalah yang paling buruk di China dalam kira-kira 30 tahun dan mencalarkan rekod keselamatan penerbangan negara itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda