Oleh Nour Maghfirah
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Seorang pemandu warga Bangladesh berusia 41 tahun telah dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu seumur hidup selepas mengaku bersalah memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian.
Majistret Hajah Normazdina binti Haji Mohd Maskub menjatuhkan hukuman itu ke atas Hellal pada 22 Januari lalu.
Timbalan Pendakwa Raya Emily Goh mendedahkan di mahkamah bahawa kemalangan maut itu berlaku pada 30 Mac 2021, kira-kira jam 8:35 pagi di Jalan Padnunok, Kiudang, Tutong.
Hellal, yang bekerja sebagai pemandu di sebuah syarikat ketika itu, sedang memandu kenderaan bersama lima orang penumpang dalam perjalanan ke tapak projek di Lamunin.
Ketika cuba memotong empat buah kenderaan berhampiran jambatan Sungai Simut di laluan satu lorong, Hellal bertembung dengan sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 78 tahun.
Disebabkan impak kemalangan itu, mangsa cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Daerah Tutong yang kemudian disahkan meninggal dunia sebaik tiba.
Siasatan mendedahkan Hellal telah memotong kenderaan lain di selekoh, di mana penglihatan kereta dari arah bertentangan amat terhad hingga mencetuskan situasi berbahaya. Selain itu juga, tayar belakang kanan kenderaannya didapati botak, seterusnya menjejaskan keselamatan.