Friday, February 7, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Punca terjadinya migrain

    Sesetengah orang memang selalu diserang sakit kepala atau migrain. Kadang-kadang sakit kepala ini boleh berlanjutan hingga berhari-hari.

    Menurut laman web kesihatan WebMD, punca migrain sebenarnya tidak diketahui secara tepat. Namun, doktor berpendapat bahawa ia boleh dicetuskan oleh perubahan hormon, pengambilan sesetengah jenis ubat-ubatan, kurang tidur dan sebagainya. Sebenarnya, diet juga boleh menjadi pemicu sakit kepala atau migrain.

    11 jenis makanan punca migrain dan sakit kepala

    1.Pemanis tiruan

    Pemanis tiruan atau artificial sweetener banyak digunakan sebagai alternatif bagi mereka yang mengalami diabetes atau yang ingin berhasrat menguruskan badan. Namun aspartam yang menjadi kandungan utama pemanis tiruan ini disyaki menjadi punca sakit kepala.

    Kebanyakan makanan segera atau makanan diproses juga mengandungi pemanis tiruan tanpa disedari. Antara yang paling biasa mengandungi bahan ini adalah diet soda.

    2. Coklat

    Bagi kebanyakan wanita, coklat adalah sumber kebahagiaan dan penenang jiwa. Tapi malangnya, coklat mengandungi beberapa jenis kombinasi bahan yang menjadi formula sakit kepala seperti kafein, tiramina dan phenylethylamine.

    Sosej dan daging-daging yang diperap lama untuk mengekalkan warna dan rasanya merupakan salah satu lagi punca sakit kepala.

    American Migraine Foundation juga menyenaraikan coklat sebagai pemicu migrain yang kedua tertinggi selepas alkohol. Jadi, jika anda penggemar tegar coklat dan sering alami sakit kepala, mungkin anda harus cuba mengehadkan pengambilannya dalam diet harian.

    3. MSG dan pengawet

    Monosodium glutamat atau lebih dikenali sebagai MSG adalah sejenis asid glutamik yang sering ditambah dalam hidangan sebagai penyedap makanan. Walaupun ianya selamat untuk dimakan, sesetengah penyelidik mengaitkannya sebagai pencetus migrain. Sesetengah pengawet yang terdapat dalam makanan, terutamanya makanan segera atau makanan diproses juga boleh menjadi punca sakit kepala.

    4. Pisang dan avokado

    Pelik juga bila pisang dan avokado dikaitkan dengan punca migrain, sedangkan ia memiliki begitu banyak manfaat terhadap kesihatan. Namun menurut Jennifer Kriegler dari Center for Neurological Restoration di Cleveland Clinic, kedua-dua buah ini mengandungi kadar tiramina yang tinggi. Sekiranya tubuh seseorang kekurangan enzim monoamina oxidase (MAO) atau mengambil ubat antidepressant, ia boleh menyebabkan sakit kepala menjadi lebih teruk lagi.

    5. Sosej

    Sosej dan daging-daging yang diperap lama untuk mengekalkan warna dan rasanya merupakan salah satu lagi punca sakit kepala. Makanan seperti ini dipercayai membebaskan nitrik oksida ke dalam darah, lalu menyebabkan pengembangan salur darah pada otak. Menurut Reader’s Digest, terdapat bukti saintifik yang menyatakan bahawa nitrik oksida ini boleh menyumbang kepada migrain.

    6. Jeruk

    Kandungan tiramina yang tinggi dan menyebabkan sakit kepala boleh terdapat dalam makanan yang melalui proses fermentasi seperti jeruk-jeruk dan kimchi. Selain itu, keju parmesan, keju feta atau blue cheese turut mengandungi kandungan tiramina yang tinggi.

    7. Makanan masin

    Makanan yang ditabur banyak garam seperti kentang goreng atau kerepek boleh menjadi punca sakit kepala bagi sesetengah orang. Garam atau sodium boleh menaikkan tekanan dalam darah lalu menyebabkan sakit kepala.

    8. Roti

    Sakit kepala yang anda alami mungkin juga salah satu simptom alahan terhadap gluten. Gluten adalah produk makanan yang terhasil daripada gandum. Selain roti, gluten juga biasanya terkandung dalam makanan lain seperti biskut, kuih atau pasta.

    9. Kopi

    Seperti yang kita tahu, kopi mengandungi kafein yang boleh menjadi punca sakit kepala. Tapi mungkin anda terkejut kalau mengetahui bahawa kekurangan kafein juga boleh mendatangkan sakit kepala tersebut!

    10. Daging kambing

    Orang kata kambinglah punca utama rasa pening kepala. Sebenarnya, pesakit darah tinggi yang selalu merasakannya kerana ia merupakan tindak balas daging akibat peningkatan isi padu darah apabila memakan daging kambing.

    11. Durian

    Memang ada orang yang tak boleh makan durian sebab senang kena pening kepala. Walaupun memiliki nutrisi yang berkhasiat. namun durian adalah buah yang tinggi kalori.

    Kadar gula di dalamnya juga agak tinggi dan pengambilannya yang berlebihan secara tidak langsung meningkatkan kadar gula di dalam darah anda dan menyebabkan sakit kepala. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda