Ahad, 23 November 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pupuk amalan cara hidup sihat dalam kalangan kanak-kanak

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – Seramai 46 peserta terdiri daripada pengurus-pengurus dan pekerja-pekerja yang berdaftar di Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), telah menamatkan Bengkel Latihan Garis Panduan Kebangsaan Pemakanan dan Kegiatan Fizikal bagi Pusat Penjagaan Kanak-kanak di Negara Brunei Darussalam, kelmarin.

    Bengkel selama dua hari yang bermula 8 dan 9 Disember itu dianjurkan oleh Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama JAPEM.

    Melalui bengkel yang diketuai Pusat Promosi Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Kesihatan, para peserta diberi peluang untuk mengongsikan pengalaman, pengetahuan dan amalan yang telah dan akan dilaksanakan di pusat-pusat mereka bagi membantu menyerapkan amalan cara hidup sihat dalam kalangan kanak-kanak di bawah jagaan mereka.

    Ia juga antara program pembarigaan untuk Garis Panduan Kebangsaan Pemakanan dan Kegiatan Fizikal bagi Pusat Penjagaan Kanak-kanak di Negara Brunei Darussalam yang telah dihasilkan sebagai rujukan dan panduan kepada pengusaha-pengusaha pusat penjagaan kanak-kanak, khususnya dalam pemberian makanan yang sihat, berzat, seimbang dan selamat serta penyediaan aktiviti jasmani dan kognitif yang bersesuaian mengikut perkembangan kanak-kanak.

    Di samping itu, ia bertujuan mewujudkan serta memastikan persekitaran yang kondusif, sihat, bersih dan selamat bagi kanak-kanak untuk bergaul, bermain dan terokai, sekali gus meningkatkan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan.

    Kementerian Kesihatan berharap akan terus bekerjasama dengan JAPEM agar dapat memperkasakan pemilik-pemilik dan pengusaha-pengusaha dan kakitangan pusat penjagaan kanak-kanak serta mendapat sokongan yang terbaik daripada ibu bapa dan penjaga dalam memupuk amalan cara hidup sihat dalam kalangan kanak-kanak dari peringkat awal lagi melalui penggunaan garis panduan tersebut.

    Setakat ini, sebanyak 69 buah pemilik pusat penjagaan kanak-kanak telah berdaftar di JAPEM di bawah Akta Pusat Penjagaan Kanak-kanak 2006. Mana-mana pusat penjagaan kanak-kanak yang beroperasi tanpa lesen sah boleh didapati bersalah di bawah Bab 3, Akta Pusat Penjagaan Kanak-kanak, Penggal 218 dan jika sabit kesalahan di mahkamah, boleh dikenakan denda $5,000, penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    Sehubungan itu, pihak-pihak yang berhasrat untuk menubuhkan pusat penjagaan kanak-kanak boleh mendapatkan penjelasan lanjut dan memohon di Bahagian Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak, Tingkat 3, JAPEM, Bangunan KKBS, Jalan Kebangsaan, talian 2380704 atau melayari laman sesawang JAPEM.

    Salah seorang pegawai dari Pusat Promosi Kesihatan mengongsikan, pengetahuan bagi membantu menyerapkan amalan cara hidup sihat dalam kalangan kanak-kanak. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda