Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 FEB – Kepentingan penggunaan semula plastik dan kaedah kitar semula yang betul untuk pelbagai jenis barangan kitar semula telah ditekankan oleh Green Depot semasa ceramah yang diadakan di Sekolah Menengah Sayyidina Ali (SMSA), hari ini.
Ceramah telah disampaikan oleh ahli-ahli Jawatankuasa Green Depot, Dayang Aina Farzana binti Ismarudin dan Dayang Nur Sabrina binti Feisal.
Seramai 180 orang pelajar telah menghadiri ceramah tersebut dan menyertai aktiviti-aktiviti yang telah dirancang, termasuk menyusun barangan kitar semula mengikut kumpulan dan pertunjukan fesyen akhbar.
Objektif ceramah sekolah itu adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang kitar semula dan penggunaan semula bahan di samping menekankan kepentingan pengurusan sisa, serta memupuk tabiat mengamalkan 3R kepada pelajar.
Green Depot adalah projek di bawah Green Brunei yang bertujuan untuk menyumbang kepada visi dan objektif negara untuk beralih ke arah gaya hidup sifar sisa.
Dalam pada itu, Green Brunei akan mengadakan Pandu Kitar Semula di kawasan tempat letak kereta Kontena Park, Tingkat Bawah pada 5 Februari ini, dari pukul 9 pagi hingga 1 petang.
Orang ramai digalakkan untuk menghantar barang kitar semula mereka, sekiranya ada.
Orang ramai juga dialu-alukan untuk menghantar barang kitar semula mereka di Green Depot, yang terletak di Kuala Belait pada waktu bekerja.