Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Daniel Lim
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Bagi memupuk budaya membaca dan mencungkil bakat dalam kalangan pelajar, Sekolah Arab Belait (SAB) dengan kerjasama Jabatan Bahasa Inggeris, Jabatan Matematik dan Jabatan Sains hari ini menganjurkan EMS-Zing Day, bertempat di Multi Purpose Area dan surau sekolah berkenaan.
Program tahunan SAB ini diisi dengan pelbagai aktiviti berunsurkan mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains (EMS) yang merupakan subjek teras dengan melibatkan semua guru, penuntut dan kakitangan sekolah tersebut.
Ia dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan surah Al-Fatihah serta doa dihindari dari wabak COVID oleh Ketua Raed, Awang Muhammad Fadhli Danial bin Fariz Surnaidi, dari Sanah 8 Mutamakkin.
Program diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Guru Besar SAB, Pengiran Hajah Masniah @ Noramalina binti Pengiran Hussin, yang diikuti dengan perarakan kostum dari setiap kelas dan kemudiannya pelancaran aktiviti EMS-Zing Day bersempena World Book Day, Sci-Math Mini Fair, Adopt-a-book, Reading Hour.
Pada sebelah petang, program diteruskan dengan sesi kongsisama yang disampaikan oleh penceramah undangan, Pengiran Dr Noor Afizan binti Pengiran Haji Abdul Rahman selaku Penguasa Perundangan dari Pusat Pengasingan Kebangsaan, Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Pakar Perunding Oftalmologi, Kementerian Kesihatan.
Pihak sekolah berharap program seumpama ini dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi para pelajar serta mampu untuk berfikiran kritis dan kreatif. Ia juga diharap dapat menarik minat lebih ramai pelajar kepada mata pelajaran EMS serta meningkatkan tahap keyakinan diri pelajar untuk mengikuti pelbagai aktiviti dan pertandingan.