Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MEI – Jawatankuasa Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB) Kampung Sungai Akar dengan kerjasama Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sungai Akar telah menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran bagi Program 1 Hari 1 Halaman dan ramah mesra Hari Raya bertempat di perkarangan masjid berkenaan, kelmarin.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Ad-Dhuha yang diketuai oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Perantis (SkiPPA), Awang Mohd Nur Adly bin Haji Harddy Hisysham, sementara bacaan Takhtim dipimpin oleh ahli jawatankuasa takmir masjid yang bertanggungjawab bagi program tersebut, Haji Mohd Faiezal bin Haji Zainal.
Manakala bacaan doa dibacakan oleh imam masjid berkenaan, Awang Mohd Farhanuddin bin Haji Hassan.
Turut hadir di majlis itu, penaung-penaung bersama MRSB, Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong dan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Majlis antara lain bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara warga masjid dan penduduk kampung berkenaan di samping memupuk semangat kemasyarakatan dalam kalangan komuniti, meningkatkan ukhuwah Islamiah, membudayakan bacaan Al-Quran secara berterusan serta memperkukuhkan jalinan kerjasama antara institusi masjid dan penduduk kampung.