Sunday, May 11, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pupuk diri agar suka bersenam

    Mengekalkan kecergasan adalah sesuatu yang penting dan mustahak demi kesihatan badan. Namun tidak ada jalan pendek untuk melakukannya melainkan secara berterusan.

    Bagi mengekalkan momentum senaman adalah sukar dan amat mencabar bagi sesetengah individu.

    Menyedari hakikat ini, pakar-pakar kecergasan telah mengkaji perkara ini dan telah mengenal pasti beberapa cara yang boleh dijadikan panduan dalam memupuk amalan bersenam dalam kehidupan seharian:

    Minat

    Lakukan senaman yang kita gemar. Tanpa minat, sesuatu perkara sukar untuk dikekalkan. Sesetengah individu tidak gemar bersenam tetapi mengisi masa lapang dengan aktiviti fizikal seperti mengemas rumah, berkebun atau bagi penganut agama Islam – beribadat dengan mendirikan solat di tengah malam. Aktiviti seperti ini dikategorikan sebagai aktiviti fizikal berintensiti sederhana. Jika dilakukan secara berterusan, sekurang-kurangnya 30 minit setiap sesi, untuk tiga kali dalam seminggu, boleh memberi manafaat kepada kesihatan tubuh badan.

    Jadikan senaman sebagai satu keperluan dalam hidup anda, sama seperti keperluan asas lain seperti makan, minum, buang air dan bersembahyang. Masa tidak harus dijadikan satu alasan untuk tidak bersenam. – Gambar hiasan

    Kewajiban bersenam

    Jadikan senaman sebagai satu keperluan dalam hidup anda, sama seperti keperluan asas lain seperti makan, minum, buang air dan bersembahyang. Masa tidak harus dijadikan satu alasan untuk tidak bersenam. Hakikatnya, masa memang cemburui kita. Senaman boleh dilakukan pada bila-bila masa. Anda boleh bersenam pada waktu malam iaitu selepas semua tugas harian selesai. Kaji semula jadual harian dan cari masa yang sesuai untuk bersenam.

    Tetapkan matlamat

    Tentukan matlatmat sebelum memulakan sesuatu program senaman. Matlamat yang jelas membolehkan kita merancang aktiviti dan menguruskan masa dengan lebih baik. Bahagikan matlamat kepada beberapa bahagian seperti matlamat jangka masa pendek (seperti mengurangkan berat sebanyak dua kilogram dalam tempoh tiga bulan) dan matlamat jangka masa panjang (seperti masih mampu berjalan kaki cepat (brisk walking) tiga hari seminggu walaupun telah berusia 60 tahun). Pastikan matlamat yang ditetapkan adalah bersesuaian dengan kemampuan diri kita.

    Dapatkan sokongan

    Sokongan dan dorongan daripada pasangan hidup, ahli keluarga, anak-anak dan rakan juga membantu mengekalkan senaman yang dilakukan terutama jika mereka mempunyai minat dan matlamat yang sama.

    Berikan ganjaran

    Sesekali berikan ganjaran pada diri sendiri terutama sekali sekiranya berjaya mencapai matlamat yang ditetapkan. Sebagai contoh, hadiahkan diri anda pakaian atau peralatan sukan yang baharu bagi menguatkan semula semangat.

    Tambahkan ilmu

    Dapatkan maklumat terkini berkaitan dengan aktiviti fizikal yang anda gemari. Sebagai contoh, jika anda menggemari senamrobik, ketahui gerak tari atau lagu rancak terkini (contohnya gerak tari dan lagu ‘Kill This Love – BLACKPINK’). Maklumat atau teknik terbaharu ini akan menjadi pendorong dan menjadikan anda lebih teruja untuk melakukan senaman. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda