Wednesday, February 12, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pupuk diri demi generasi masa depan

    Oleh Ak Zaki Kasharan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Belia dikatakan sebagai pemimpin masa hadapan, pada masa yang sama pembuat perubahan pada hari ini.

    Oleh itu sebagai seorang belia haruslah bersama-sama memupuk diri sendiri bagi memberikan impak kepada generasi akan datang.

    Perkara tersebut antara yang dijelaskan oleh Pegawai Pendidikan Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (STEP), Kementerian Pendidikan, Dr Andery Lim yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Belia Cemerlang Tahun 2023 bersempena Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan (HBK) ke-18 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, baru-baru ini.

    Beliau yang berasa teruja atas penganugerahan kepada dirinya pada hari yang cukup bersejarah tersebut menginspirasikan lagi dirinya untuk berusaha lebih gigih pada masa yang akan datang.

    “Pertama sekali saya ingin menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas pengurniaan Anugerah Belia Cemerlang.

    Awang Mohammad Arif yang menerima Anugerah Pemimpin Muda Belia. – Gambar oleh Khayr Zakariyya
    Dr Andery Lim ketika ditemu bual pada Majlis Sambutan HBK ke-18, baru-baru ini. – Gambar oleh Khayr Zakariyya
    Dayang Nurul Huda menerima Anugerah Pengiktirafan Khas. – Gambar oleh Khayr Zakariyya

    “Saya selaku pendidik di Kementerian Pendidikan akan berusaha meneruskan apa yang saya lakukan selama ini bagi memperkasa dan memberi inspirasi kepada generasi muda pada hari ini dan akan datang khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM) yang dapat memupuk inovasi serta mencipta peluang dan menangani isu yang mendatang.

    “Saya juga komited dan bersungguh-sungguh untuk meningkatkan lagi kemahiran yang saya miliki ke arah menuju perkembangan holistik Negara Brunei Darussalam,” tambah Dr Andery Lim semasa ditemui pada majlis tersebut.

    Beliau pada masa yang sama bersyukur kerana diberikan latar belakang keluarga dan orang tua yang positif yang memberi pengaruh besar terhadap kejayaannya pada hari ini, banyak mendorongnya menjadi seorang pelajar sepanjang hayat.

    Sementara itu, penerima Anugerah Pemimpin Muda Belia, Awang Mohammad Arif bin Abdul Hadi semasa ditemui pihak media turut menzahirkan perasaan tidak menyangka dapat menerima anugerah tersebut.

    Beliau terlibat dalam Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) bermula pada 2001 semasa berada di sekolah menengah.

    Menyentuh mengenai kepimpinan belia yang dipraktikkan di PPNBD, beliau menjelaskan bahawa setiap lapisan kepimpinan di persekutuan tersebut perlu melibatkan para belia untuk membuat sebarang keputusan di mana ini adalah peluang bagi para belia dalam organisasi berkenaan untuk melibatkan diri secara langsung dalam membuat dasar dan seumpamanya yang membolehkan para belia itu sama-sama mengambil peranan dalam membangun dan juga meningkatkan bukan sahaja persekutuan pengakap malahan belia
    umumnya.

    “Sebenarnya anugerah ini bukan bagi diri saya sendiri malah adalah juga bagi PPNBD yang telah banyak melahirkan pemimpin muda belia yang berkaliber dan pada masa yang sama persekutuan pengakap ini memerlukan pemimpin yang berkemahiran kerana ia bukan sahaja pergerakan bersifat lokal namun juga bergerak secara global,” tambah Timbalan Ketua Pesuruhjaya Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam itu lagi.

    Bercakap mengenai pembahagian masa dari segi tugasnya sebagai seorang pegawai penyelaras Pasukan Pengakap Unit Beruniform dan Perkhidmatan Kemasyarakatan dari Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, beliau bersyukur kerana diberikan peluang bekerja dengan persatuan yang diminatinya dan pada masa yang sama menjalankan tugas rasminya sebagai penjawat awam.

    Beliau turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada ibu bapa dan isteri serta anak-anaknya yang selama ini banyak berkorban dan memahami keadaan dirinya yang mana banyak masa beliau gunakan dalam menjalankan aktiviti pengakap.

    Bagi penerima Anugerah Pengiktirafan Khas, Dayang Nurul Huda binti Awang Haji Muhin ketika ditemui media berkata, beliau berasa cukup terharu atas penganugerahan yang diterimanya.

    “Ia adalah suatu penghargaan atas usaha belia yang berkelainan upaya dalam sama-sama memajukan negara, bangsa dan agama.

    “Saya menasihatkan dan memberi saranan kepada belia berkelainan upaya agar berani tampil ke hadapan bagi sama-sama menyuarakan dan menyumbangkan sesuatu kepada negara di samping berani melakukan apa saja yang mereka gemari untuk mengecapi
    impian mereka sendiri,” tambah Dayang Nurul Huda.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda